Hulurkan Sumbangan

Tuesday, December 16, 2008

AL-Kisah Pilihan Raya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu

Coat of arms of TerengganuImage via Wikipedia




Pada awal tahun depan satu lagi Pilihan Raya Kecil bakal diadakan selepas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Pilihan Raya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu tersebut diadakan ekoran daripada wakilnya sebelum ini telah kembali ke Rahmatullah beberapa minggu yang lalu. PRK kali ini dijangka hangat memandangkan ia berkemungkinan akan berlaku pertembungan dua penjuru iaitu antara PAS dengan Barisan Nasional.

Pada pandangan penulis, pada masa ini kedua-dua parti tersebut mempunyai isu dan krisis dalam yang sendiri jadi ia akan menjadikan peluang kemenangan bagi kedua-dua parti tersebut hanya 50-50. Tidak perlulah penulis terangkan dengan lebih jelas apakah isu dan krisis dalaman yang berlaku pada parti-parti tersebut kerana penulis suka untuk mengetengahkan isu PRK berbanding isu dalaman mereka, mereka sudah tentu ada caranya sendiri untuk menangganinya.

Siapa Calon untuk Parlimen P036 Kuala Terengganu?

Buat masa ini calon-calon untuk kedua-dua belah pihak belum diketahui kerana masing-masing masih tidak bersedia untuk mengumumkannya. Desas desus mengatakan bahawa Senator Datuk Wan Farid mungkin dipilih menjadi calon untuk pilihan raya tersebut, namun beliau dilantik semula menjadi Senator, jadi boleh dikatakan mustahil jika Datuk Wan Farid bakal dipilih sebagai calon P036 Kuala Terengganu.

Ada juga ura-ura mengatakan bahawa ada kemungkinan mantan Menteri Besar Terengganu yang juga merupakan Pengerusi MARA iaitu Datuk Seri Idris Jusoh akan dicalonkan untuk parlimen P036 Kuala Terengganu. Namun, setakat ini ia masih kekal sebagai ura-ura dan kemungkinanya tetap ada kerana sebelum ini pernah ada ura-ura Datuk Seri Idris Jusoh bakal ke Federal, namun beliau memilih untuk kekal dengan negeri Terengganu, setelah tidak lagi menjadi MB Terengganu ada kemungkinan beliau berminat untuk ke Federal, tetapi setakat ini ia hanyalah ramalan jadi nantikanya dengan penuh sabar.

Bagi pihak PAS pula ada ura-ura mengatakan bahawa Mat Sabu bakal dipertaruhkan semula untuk Parlimen P036 Kuala Terengganu ini. Namun, orang Terengganu memang terkenal dengan sikap 'memilih orang tempatan' jadi tentu pihak PAS akan berfikir berkali-kali untuk meletakkan semula Mat Sabu.

Selain itu, ura-ura mengatakan kemungkinan Datuk Mustafa Ali akan bertanding di Parlimen P036 Kuala Terengganu ini, namun kedudukan sebagai seorang berstatus veteran akan menjejaskan sedikit peluang untuk PAS menguasai parlimen ini.

Calon Muda mungkin akan menjadi pilihan PAS untuk dipertaruhkan pada PRK P036 Kuala Terengganu memandangkan ia bertujuan menarik minat golongan muda untuk memberi sokongan kepada PAS. Penulis tidak mendapat maklumat siapakah calon muda tersebut jadi kita tunggu dan lihat sahajalah.
Reblog this post [with Zemanta]

Kembara Mencari Bekalan Perjuangan

Inilah artikel pertama saya selepas tidak lagi menjadi mufti. Kali ini saya menulis ketika saya berada di Lampeter, UK. Di sini agak ‘ulu’ sedikit. Jumlah pelajar Malaysia di sini pun agak tidak ramai. Kalau nak beruzlah memanglah sesuai. Tapi insyaAllah saya bukan beruzlah.

Saya bertolak ke sini pada 1 Disember lepas. Masih belum mendapat rumah untuk tinggal. Bukan tiada rumah, tapi menghitung ‘bajet’ yang sesuai. Belum dapat mengikuti perkembangan Malaysia sepenuhnya. Pada ‘Idil Adha baru-baru ini saya berkhutbah di Malaysia Hall di London. Bertemu dengan orang-orang Malaysia. Turut hadir Dato’ Seri Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Perlis. Beliau bermurah hati menjamu orang Malaysia di sini. Di samping membawa saya mengenali London.

Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang amat tidak bersetuju dengan tindakan ini. Ratusan email dan sms yang menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Kata mereka saya mesti teruskan agenda yang telah berjalan dan mula membuatkan hasil yang agak lebat. Sehingga baru-baru ini saya bertemu seorang tua warga Malaysia di London berkata dengan nada yang sebak “Tidak patut Dr tinggalkan Malaysia. Sepatutnya berjuang sehingga habis”. Sehingga ada yang menyebut: “Tak baik tinggalkan Malaysia, nanti jadi macam Nabi Yunus yang tinggalkan kaumnya, lalu dia ditelan ikan”.

Saya tersentak dengan kenyataan itu dan amat berdebar. Pohon perlindungan Allah dari itu semua. Saya berkata kepada mereka: “saya tidak tinggalkan Malaysia, saya akan pulang nanti setelah tugasan selesai, insyaAllah”. Ramai yang bersungut kerana mereka rasa saya tidak akan menulis lagi dalam Mingguan. InsyaAllah, saya akan meneruskan walaupun tidak sepanjang dahulu. Cuma saya tidak dapat melihat sendiri di manakah artikel saya akan ditempatkan. Janganlah pula artikel saya pun diletakkan di muka surat yang ‘ulu’ juga.

Di samping tugasan sabatikal saya iaitu membuat kajian dalam tajuk yang ditetapkan, banyak perkara saya rancang untuk lakukan. Saya doakan agar Allah memudahkan urusan saya. Saya mula berkenalan dengan beberapa tokoh Islam di sini. Sebahagiannya sudah saya kenali sebelum ini. Ada banyak jemputan yang dikemukakan kepada saya. Saya mengharapkan pertolongan Allah agar saya dapat mengendalikan semuanya di samping tidak mengganggu tugasan asal saya.

Saya menganggap kembara ini sebagai perjalanan menuntut ilmu agar membantu saya berbicara tentang Islam selaras dengan tahap pemikiran sesetengah manusia hari ini yang banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur Barat. Sabda Nabi s.a.w:

“Bicaralah kepada manusia apa yang mereka tahu (faham)” (Riwayat al-Bukhari).

Demikian juga, semoga Allah membuka ruang kepada saya apa yang tidak dibuka sebelum ini. Hadir ke sesuatu destinasi untuk bercuti atau sekadar mendapat sijil, tidaklah sama dengan hadir untuk meneliti dan mengambil iktibar. Ramai yang pergi ke Mekah pada musim haji tetapi hanya mampu membawa balik barangan yang dibeli daripada Mekah, tetapi gagal mengambil iktibar dan membawa pulang daripada contoh-contoh amal ibadah yang mengikut sunnah Nabi s.a.w yang diamalkan di Mekah dan Madinah. Mengapa? Kerana mereka tidak hadir untuk mengambil iktibar atau gagal membebaskan diri dari kongkongan pemikiran setempat. Hanya kepada Allah diserahkan niat dan harapan.

Saya melihat antara masalah besar sesiapa sahaja yang berbicara tentang Islam di sepanjang zaman adalah soal keikhlasan jiwa. Ketulusan jiwa yang ikhlas hanya mencari keredhaan Allah amatlah sukar untuk ditabal dalam perasaan, sekalipun mudah untuk dibicarakan. Apabila seseorang insan, atau tokoh yang memperkatakan tentang Islam gagal untuk mengaitkan hubungan pandangannya itu dengan keredhaan Allah S.W.T, maka ramai tenggelam dalam dunia falsafah yang tiada penghujungnya, atau kepentingan kedudukan diri, puak, parti yang tiada kesudahan, atau ketaksuban yang tiada pegangan. Sehingga mereka lupa mengira atau menghitung bicara atau pendapat atau falsafah yang mereka kaitkan dengan Islam itu kesudahannya membawa kepada keredhaan Allah atau kemurkaanNya? Ke syurga atau neraka?

Justeru itu dalam hadis daripada Ka’b bin Malik r.a., katanya: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

“Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orangramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, dipersetujui kesahihannya oleh al-Zahabi).

Inilah krisis ilmuwan Islam sepanjang zaman, krisis keikhlasan niat yang membawa kepada hilangnya halatuju dalam mencari hakikat atau kebenaran sesuatu perkara. Inilah krisis yang berlaku dalam kalangan golongan agamawan terlibat dalam politik, pentadbiran atau kajian. Akhirnya, mereka yang kononnya membawa ‘bendera Islam’ itu dalam beberapa keadaan menjadi unsur yang merosakkan pembangunan umat Islam, masa depan atau ilmu Islam yang sebenarnya dek kerana mempertahankan kepentingan diri atau puak.

Justeru itulah al-Imam al-Bukhari (meninggal 256H) meletakkan hadis yang pertama dalam Sahih al-Bukhari hadis “Setiap amalan itu berdasarkan niat”. Walaupun dari segi sususan tajuk kitabnya itu, tidak sesuai hadis tersebut menjadi hadis pertama, tetapi mungkin beliau ingin mengingatkan pembaca tentang kepentingan mengikhlaskan jiwa dalam memahami ilmu.

Ramai tokoh Islam tersasar menjadi fanatik parti, taksub mazhab, berjuang untuk kedudukan bagi mendapatkan harta dan kedudukan semata, menolak nas-nas agama yang jelas kerana mempertahankan pegangan peribadi atau tempatan, semuanya berpunca niat yang tidak dibulatkan kerana Allah semata dalam mencari kebenaran.

Kemudian, insan setelah mengikhlaskan niat di jiwanya, wajib pula selepas itu mengikuti disiplin ilmu secara yang tepat atau peta perjalanan yang betul bagi membolehkan dia sampai destinasi yang dituju. Jika niatnya betul, petanya salah, dia tetap tidak menemui jalan yang dituju. Jika petanya betul, tetapi niatnya salah, maka dia sendiri akan menyeleweng dari jalan petunjuk yang sepatutnya dia sampai. Maka kehidupan yang sebenar ditegak atas amalan yang terbaik. Amalan yang terbaik ditegakkan atas yang paling ikhlas dan paling tepat. Firman Allah: (maksudnya)

“Dialah (Allah) Yang telah menciptakan kematian dan kehidupan - untuk menguji kamu: siapakah antara kamu yang terbaik amalan; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2).

Inilah mukadimah saya bagi ruangan baru ini. InsyaAllah saya akan ikuti dengan berbagai isu selepas ini. Perjuangan dan agenda perubahan dengan izin Allah akan diteruskan.

*Penulis merupakan bekas Mufti Perlis dan sekarang Pensyarah Pengajian Islam, USM yang sekarang sedang sabatikal di UK. Boleh layari laman webnya: drmaza.com. atau hubungi beliau melalui email: moasriza@yahoo.com.


Reblog this post [with Zemanta]