Hulurkan Sumbangan

Saturday, October 25, 2008

Kenyataan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Tentang Beberapa Isu Mutakhir



KENYATAAN DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN
TENTANG BEBERAPA ISU MUTAKHIR

  • Politik Yang Matang
  • Isu Masjid Cina
  • Mata Pelajaran Fekah Interaksi Antara Agama

Politik Yang Matang
Saya ingin memuji sikap di Parlimen yang ditunjukkan oleh YB Kulim Bandar Baru semalam yang mengkritik perkara-perkara yang tidak dipersetujuinya sekalipun perkara-perkara tersebut dilakukan oleh partinya sendiri.

Negara kita memerlukan politik yang merdeka seperti ini. Walaupun barangkali bukan semua yang dibangkitkannya itu saya setujui, namun sikap tidak bertaklid buta yang ditunjukkannya patut dipuji.

Islam melarang seseorang mengikut individu atau parti tanpa berfikir, atau menyokong apa sahaja sekali pun bertentangan dengan prinsip yang diyakini. Kita perlu melakukan tajdid atau pembaharuan ‘orang-orang politik’ daripada mengikuti apa sahaja tindakan parti mereka kepada menilai setiap sesuatu berdasarkan kepada dalil dan fakta.

Sila baca artikel saya: IKUT DALIL DAN FAKTA, BUANG TAKLID BUTA

Isu Masjid Cina
Isu Masjid Cina yang ditimbulkan juga oleh YB Kulim di Parlimen semalam juga sebenarnya telah pun saya bangkitkan pada Bulan Januari 2007, kira-kira setahun setengah yang lepas. Media telah membantu saya membangkitkan isu ini.

Malangnya cadangan saya agar komuniti cina muslim mempunyai masjid sendiri yang pengurusannya mampu memahami masalah mereka, diuruskan oleh mereka sendiri, menggunakan bahasa yang lebih difahami oleh mereka dan memahami budaya mereka ditentang oleh kelompok agama yang sempit pandangan.

Kelompok ini menganggap seakan Islam di Malaysia mestilah beridentitikan melayu. Padahal, sudah lama masyarakat cina muslim memohon masjid yang seperti itu. Ramai orang cina yang menganut Islam apabila terputus hubungan dengan masyarakat melayu seperti bercerai atau bergaduh tidak tahu tempat tuju yang lebih memahami mereka. Kewujudan masjid cina dapat membantu mereka.

Setelah 50 tahun merdeka, orang bukan Islam terlalu ramai yang tidak faham dengan Islam. Bahkan segala sikap negatif melayu dianggap oleh sesetengah mereka sebagai Islam. Ertinya dakwah tidak berjalan dengan baik. Mesej Islam tidak sampai.

Kita patut bertanya ke mana pergi peruntukan yang begitu banyak yang diperolehi oleh badan-badan Islam yang mendapat bajet setiap tahun? Sebahagian badan ini dinamakan kemajuan Islam. Apakah Islam telah maju dalam hal in?

Hari ini, masih kelihatan prajudis yang tinggi antara muslim dan bukan muslim dalam keadaan tertentu. Jumlah yang tertarik kepada Islam juga tidak setara dengan bajet dan belanja atas nama Islam yang begitu banyak dikeluarkan. Maka rancangan mewujudkan masjid cina mestilah diteruskan agar komuniti kaum yang begitu besar dalam negara ini tersebut lebih dapat memahami Islam.

Mata Pelajaran Fekah Interaksi Antara Agama
Saya pernah mencadangkan pada pertengahan tahun 2007 agar kerajaan memperuntukan mata pelajaran khas untuk pelajar-pelajar muslim Fekah Interaksi Antara Agama. Tujuannya agar seorang muslim memahami prinsip, adab dan hukum Islam dalam berinteraksi dengan non-muslim.

Dengan kefahaman Islam yang luas, dan bebas dari pemikiran hukum yang sempit dan jumud maka interaksi antara seorang muslim dan bukan muslim mampu menjadi saluran yang mempromosi keindahan Islam. Di samping dapat mempertahankan prinsip-prinsip Islam.

Dalam negara yang berbilang kaum dan perbezaan serta salah sangka yang makin meningkat usaha ke arah masyarakat lebih memahami Islam yang sebenar amatlah perlu disegeraka.

Reblog this post [with Zemanta]

Monday, October 13, 2008

Apabila Ketamakan Menguasai Jiwa

Jika anda berniaga, anda mestilah memikirkan dari segi ekonomi bagaimana hendak untung dan tidak rugi. Jika anda pengamal undang-undang, anda mestilah berusaha agar keadilan dinikmati oleh setiap yang berhadapan dengan proses penghakiman. Jika anda berpolitik, anda sepatutnya berfikir bagaimana untuk memberikan kesejahteraan kepada rakyat. Jika anda menyeru kepada Islam, anda sepatutnya berfikir bagaimanakah cara agar mesej Islam yang benar atau hidayah sampai dan berkesan untuk sasaran.

Bagi setiap bidang itu ada regunya atau hala tuju yang mesti jelas dalam pemikiran pengamalnya. Jika regu bidang ini ditukar putar sehingga tidak menepati matlamat yang sepatutnya, maka rosaklah bidang tersebut. Seseorang mungkin boleh mendapat faedah sampingan daripada bidang tertentu. Namun faedah tersebut jangan sampai menjejaskan matlamat yang asal.

Umpamanya jika pengamal undang-undang berfikir bagaimana untuk menghasilkan wang semata sehingga mengenepikan soal keadilan. Atau jika ahli politik menganggap tujuan kegiatan politiknya untuk mengaut keuntungan sekalipun mengkhianati amanah rakyat. Atau jika penyampai dakwah islam bertujuan memperolehi habuan dunia walaupun menjejaskan tujuan asal dakwah. Maka pincanglah alam, rosak imbangan dan musnah segala peraturan dan tujuan kehidupan. Namun inilah realiti yang sedang kita hadapi sekarang..

Pagi semalam (sabtu) saya menerima mesej daripada seorang sahabat yang dahulunya pensyarah UIAM dalam bidang ekonomi Islam. Beliau meninggalkan jawatannya kerana masuk bertanding dalam pilihanraya yang lepas dan tewas. Saya kenal kesungguhan cita-cita Islam dan kebaikan dirinya. Dia bukan sahaja memiliki Ph.D dalam bidang ekonomi Islam, bahkan mempunyai pengetahuan dan disiplin Islam yang baik dalam perkara-perkara yang lain.

Namun mungkin masa tidak menyebelahinya, walaupun hasratnya baik untuk membaiki kepincangan politik. Sehari dua ini, parti yang dimasukinya sibuk membuat mencalonan jawatan itu dan ini, dan dia juga mencuba nasib untuk jawatan ketua pemuda di suatu bahagian tertentu. Dalam mesejnya itu, setelah menyatakan parti yang dimasukinya tidak sesuai lagi untuk orang sepertinya, dia menyebut: “Saya kalah kepada lawan yang tidak lulus SPM, kerja penyeludup beras dan bekas penagih ubat batuk hanya kerana wang. Dia diongkosi oleh Ketua Bahagian yang melihat saya sebagai ancaman. Jawatan parti hari ini adalah jawatan yang disandang berasaskan siapa yang dapat membida harga tertinggi bukan siapa yang berkualiti dan mahu berbakti”.

Mesejnya jelas menunjukkan dia amat kecewa dengan partinya. Itulah natijahnya apabila politik yang bertujuan untuk membaiki dan mengendalikan urusan umat agar selaras dengan kehendak wahyu dijadikan medan pertaruhan demi membolot harga dan kuasa, maka manusia atau organisasi itu akan menjadi binasa.

Ustaz-ustaz dalam negara ini sering membaca hadis dhaif : “Hampirlah kefakiran itu menjadi kekufuran”. Hadis ini lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Namun hadis ini sering dibaca oleh panel-panel forum atau ceramah yang kurang teliti disiplin hadis, atau agak terburu-buru ingin memenuhi hasrat pihak menaja ceramah atau forum perdana yang biasanya dianjurkan oleh pihak yang dinamakan diri dengan “kemajuan Islam’.

Malang sekali mereka melupai hadis yang sahih yang merupakan amaran Nabi s.a.w terhadap umat ini. Iaitu hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim:

“Demi Allah, bukan kefakiran yang aku bimbang menimpa kamu, tetapi aku bimbang dibentangkan kepada kamu dunia seperti mana dibentangkan kepada mereka yang terdahulu dari kamu (umat yang silam), lalu kamu bersaing untuk mendapatkannya seperti mana mereka bersaing. Lantas dunia itu memusnahkan kamu seperti mana ia telah memusnahkan mereka”.

Ya, inilah realitinya. Memang, Islam tidak menyukai kefakiran, sebab itulah diperintahkan agar setiap muslim berusaha dan bekerja, menjadi rezeki dan menanggung bebanan keluarga, juga diperintahkan agar dibantu fakir miskin. Namun ketamakan kepada harta jauh lebih merbahaya daripada kefakiran.

Apabila ketamakan menguasai diri, manusia bersaing sesama sendiri sehingga ke peringkat bunuh membunuh, jatuh menjatuh, dan tumbang menumbang. Dipertaruhkan maruah, harga diri, amanah, harta rakyat bahkan mungkin nyawa orang lain hanya semata kerana ketamakan harta. Hampir semua orang yang fakir ingin keluar dari kefakirannya, namun si tamak amat sukar untuk diheret keluar dari daerah ketamakan.

Mengubati kefakiran sebenarnya lebih mudah dari mengubati ketamakan. Penyakit kefakiran itu pula khusus untuk yang tiada harta dan amat miskin, sementara tamak boleh menimpa yang kaya dan miskin, yang jutawan dan yang dalam kefakiran. Ia boleh mengenai pemerintah dan rakyat, mat rempit dan ustaz.

Bukan Islam anti-harta, sama sekali tidak. Islam agama kerja dan mencari rezeki. Sehingga selepas solat Jumaat pun Islam tidak pernah mewajibkan untuk duduk di masjid untuk panjang-panjang. Sebaliknya disuruh untuk kita bertebaran mencari rezeki. Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan (azan) untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan Solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai Solat Jumaat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di Akhirat)” (Surah al-Jumuah, ayat 9 -10).

Dalam ayat ini juga menunjuk Hari Jumaat pun tidak disuruh kita menutup kedai sepanjang hari, sebaliknya hanya disuruh meninggal perniagaan apabila azan dilaungkan. Jika kedai ditutup pada Hari Jumaat, tentu tiada faedah Allah mengarahkan agar meninggalkan jual beli apabila mendengar azan. Selepas Solat Jumaat disuruh sambung bekerja. Demi sesungguhnya Islam tidak anti-harta. Bahkan Nabi s.a.w. menyebut:

“Sebaik-baik harta yang baik adalah untuk seseorang yang baik” (Riwayat Ahmad, al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Apa yang Islam musuhi adalah ketamakan. Apabila kegilaan kepada harta memalingkan tujuan atau matlamat kehidupan, maka harta adalah perosak. Apabila kehendakan kepada harta memusnahkan agama, politik, keadilan maka harta itu menjadi fitnah. Ia akan memusnahkan rangkaian masyarakat muslim dan dunia keseluruhannya.

Hari ini dunia menderita disebabkan dasar kapitalisma yang diamalkan oleh para penindas yang menghisap darah rakyat di negara yang lemah. Kegilaan dalam mengaut keuntungan tanpa sempadan kemanusiaan telah memporak perandakan imbangan kehidupan manusia di dunia ini. Sehingga ada negara yang begitu miskin dan melarat, sedangkan di negara lain manusia begitu mewah melepasi sempadan igauan. Ketamakan harta jugalah sebenarnya yang menimbulkan kefakiran.

Maka perlaksanaan sistem Islam dalam ekonomi mestilah dapat menangkis kerakusan manusia dalam membolot harta sehingga menindas orang lain. Maka Islam mengharamkan riba kerana itulah pintu kepada kerakusan. Sistem riba itulah sekarang ini yang memiskinkan sejumlah besar manusia dalam dunia ini. Jika ada pengurusan kewangan atau perniagaan yang cuba menggunakan nama Islam tetapi tidak melepaskan diri dari unsur penindasan, maka Islam itu hanya sekadar kosmetik sahaja tanpa makna.

Barangkali orang ramai akan menyangka pengurusan itu sangat Islamik sebab ada ‘panel syariah’ yang dibayar elaun oleh pihak yang meminta difatwakan untuk bisnes mereka. Namun jika fatwa itu gagal membebas pihak yang berurusan dari penindasan ekonomi, maka itu bukan syariah namanya. Jika fatwa yang diberikan itu membebaskan pengurusan ekonomi dari unsur kezaliman dan penindasan, maka panel tersebut benar-benar menunaikan amanah ilmu.

Jangan sampai jadi cerita kononnya satu syarikat telekomunikasi yang berhempas pulas menghalal pertaruhan yang bersifat judinya dengan menjanjikan jawatan kepada seorang panel syariah yang akan dilantiknya.

Sebab itu Allah menyebut harta sebagai musuh dan fitnah iaitu ujian. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah (ujian), dan Sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah al-Anfal, ayat 28).

Maka, kerana harta manusia sanggup jual agama atau menyalahgunakannya. Agama Allah yang diturunkan untuk memberi hidayah kepada manusia telah dijadikan saluran untuk memakan harta orang lain dengan cara yang tidak benar. Allah menyebut tentang perangai ahli-ahli dahulu yang mengetahui Taurat dan Injil tetapi menyalahgunakannya.

Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli ugama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (ugama Islam)..” (Surah al-Taubah ayat 34).

Perangai Ahlul Kitab berterusan sehingga ke zaman ini.

Kematian merupakan kesedihan dan kita disuruh membantu keluarga si mati. Namun berapa ramai manusia yang menggunakan nama agama mengambil bayaran itu dan ini daripada keluarga si mati. Direka bacaan dan solat itu dan ini yang tidak buat oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabah, lalu bayarannya dikenakan kepada keluarga si mati. Seakan di tangan golongan yang mengambil kesempatan inilah kunci pahala.

Inilah masalahnya, jika kita berfikir bagaimana ingin menjadikan Islam sebagai punca mengaut keuntungan, maka agama ini akan menjadi mangsa. Saya masih teringat cerita bagaimana ada pihak tertentu yang menubuhkan persatuan ‘solat jenazah’ dengan tujuan menghasilkan pendapat sampingan. Apabila ada saja kematian maka mereka pun akan dijemput dengan bayaran tertentu. Tanpa bayaran mereka tidak akan hadir.

Upacara-upacara ‘tambahan’ yang dikaitkan dengan agama juga akan diwujudkan yang mana bilnya terpaksa dibayar oleh keluarga si mati. Apabila mereka hadir ke tempat kematian wajah mereka kelihatan sedih dan sayu. Namun, apabila banyak hari tiada kematian atau pihak yang menjemput bagi upacara kematian, mereka sesama sendiri bersungut ‘tiada siapa-siapa yang nak mati ke? Sekurang-kurangnya lepas juga duit kopi..”

Maka, tidaklah dapat diketahui, apakah mereka suka dengan kematian atau dukacita mengenangkan keluarganya? Adakah di sana akan terdapat keikhlasan doa daripada mereka yang bersolat jenazah untuk mendapatkan upah? Namun masyarakat yang jahil termakan juga..

Bukan sedikit manusia yang berfikir bagaimana untuk menggunakan kehendak orang ramai kepada agama sebagai sumber pendapatan. Umpamanya, saya amat terkejut apabila dimaklumkan ada syarikat yang mengambil upah ‘menyamak’ rumah atau bangunan yang hendak didiami oleh orang Islam.

Barangkali rumah tersebut akan dibasuh dengan selut kerana bimbangkan penghuni bukan muslim yang tinggal sebelumnya membawa masuk anjing atau babi. Sedangkan Allah memaafkan apa yang tidak diketahui dan zahir. Namun mereka berlebih-lebihan. Maka habislah rumah dan bangunan itu berlumuran selut. Kosnya pun boleh tahan.

Namun, seperti mana sebahagian mereka yang terpengaruh dengan kempen ‘jualan langsung’ maka ada orang Islam yang menempah ‘kontrak selut’ itu kerana kononnya nanti solat tidak diterima Allah sebab ada kesan najis yang kita tidak nampak. Untunglah syarikat berkenaan apabila ada yang tidak faham hakikat Islam atau berjaya dikaburkan atas nama Islam. Padahal, pada zaman Rasulullah s.a.w anjing berkeliaran dan ramai orang arab yang membela anjing.

Apabila Islam datang, Islam mengizinkan anjing digunakan untuk buruan dan menjaga keselamatan, tetapi tidak untuk belaan biasa di rumah. Pada masa dahulu, para sarjana Islam mengulas larangan tersebut menyatakan antara hikmah daripada larangan tersebut kerana anjing yang dipelihara di rumah boleh menimbulkan ketakutan kepada tetamu yang datang, menyalak tidak menentu dan sebagainya yang mempunyai kemungkinan yang besar mengganggu orang lain. Sains moden juga membuktikan adanya ancaman penyakit dari haiwan berkenaan.

Namun baginda tidak pernah pun mengarahkan supaya mana-mana sahabah baginda menyamak satu rumah. Paling tinggi baginda menyebut tentang jilatan anjing:

“Apabila anjing menjilat bekas kamu, maka basuh sebanyak tujuh kali” (Riwayat Muslim).

Dalam riwayat lain ditambah lafaz “ke tujuhnya dengan tanah” ada pula yang menyebut kali ke lapan (Riwayat Muslim).

Ulama berbeza pendapat tentang anjing. Ada yang menyatakan, berdasarkan hadis hanya jilatan anjing sahaja yang wajib dibasuh sebanyak tujuh kali dan bersama tanah pada kali ke tujuh, atau ke lapan. Ada yang meluaskan sehingga sentuhan basah anjing pun wajib dilakukan demikian, walaupun hadis tidak pun menyebutnya. Ada yang berpendapat, basuhan dengan air tanah hanya pilihan. Apa pun, Nabi s.a.w tidak pula menyebut mesti menggunakan selut dan menyuruh menyamak bangunan atau rumah. Apatah lagi jika tidak nampak kesan najisnya. Namun, akal bisnes kadang-kala lebih lajak dari lajunya.


Reblog this post [with Zemanta]

Thursday, October 9, 2008

Timbalan Presiden UMNO: TS Muhd Muhd Taib Pula Berminat







Kelmarin Presiden UMNO sekarang, DS Abdullah Haji Ahmad Badawi telah membuat pengumuman tidak akan mempertahankan jawatan yang disandangnya di dalam Pemilihan UMNO Mac 2009 nanti, ini bermakna jawatan itu bakal ditandingi oleh DS Najib Tun Razak dan Tengku Razaleigh Hamzah dalam pemilihan yang akan berlangsung Mac 2009 kelak.

Apabila DS Najib Tun Razak bertanding untuk menjadi Presiden UMNO, ini bermakna kerusi jawatanya yang disandang sekarang bakal dikosongkan maka ia membuka peluang kepada orang meminati kerusi nombor dua di dalam UMNO itu.

Sebelum ini, Jawatan Nombor dua itu telah menarik minat Nur Jazlan, dan Datuk Wira Mohd Ali Rustam telah menyatakan minat beliau untuk 'mencuba nasib' di dalam jawatan itu. Kini tiba pula giliran bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhd Muhd Taib untuk menawarkan diri merebut jawatan itu. Sementara itu, orang yang sering disebut-sebut berminat dengan jawatan nombor dua itu iaitu Tan Sri Muhyidin Yassin masih belum menyatakan adakah beliau mahu bertanding di dalam jawatan nombor itu.

RAMALAN PERTANDINGAN EMPAT PENJURU

Walaupun Tan Sri Muhyidin Yasin belum membuat ketetapan samaada ingin bertanding di dalam jawatan nombor dua di dalam UMNO itu, namun penulis menjangkakan di dalam pemilihan UMNO Mac 2009 nanti bakalan menyaksikan pertandingan empat penjuru di dalam merebut jawatan kedua tertinggi parti itu.

Pertandingan tiga penjuru tersebut melibatkan, Tan Sri Muhyidin Yasin, Datuk Nur Jazlan, dan Tan Sri Muhd Muhd Taib dan Tan Sri Zahid Hamidi. Pertandingan tiga penjuru itu pada jangkaan awal penulis akan lebih memihak kepada Tan Sri Muhyidin Yasin.

Sungguhpun ada cakap-cakap yang bekas Menteri Besar Terengganu iaitu Datuk Seri Idris Jusoh akan bertanding di dalam jawatan nombor dua itu, namun bagi penulis ia hanyalah sekadar 'cakap-cakap kedai kopi' kerana penulis merasakan DS Idris Jusoh lebih berminat untuk bertanding di dalam jawatan Naib Presiden UMNO.

Jadi besar kemungkinan 'pertarungan empat penjuru' bakal disaksikan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan Mac 2009 nanti. Bersabarlah menunggu adakah ramalan penulis ini menjadi kenyataan atau tidak.
Reblog this post [with Zemanta]

Wednesday, October 8, 2008

UMNO Perlu Majlis Ulama - Mufti Perlis






“Satu hakikat yang sukar untuk dinafikan oleh sesiapa pun adalah UMNO pada hari ini begitu tenat dengan berbagai penyakit yang tidak putus mengunjungi tubuh parti itu. Sebagai seorang rakyat dan pengkaji Islam, saya rasa beberapa cadangan perlu dikemukakan kepada UMNO, mudah-mudahan penyakitnya itu boleh diubati. Cadangan ini perlu dibuat di atas sebab di tangan parti tersebut masih ada kuasa pemerintahan yang mana pergolakannya akan memberi kesan kepada sekelian rakyat. Berikutnya, kembalinya parti tersebut kepada landasan yang betul dapat menyelamat umat Islam yang berada dalamnya.

Saya dengan ini mencadangkan agar UMNO mengambil langkah berani dengan menubuh Majlis Ulama parti berkenaan. Namun, penubuhan itu bukan sekadar mengujud sebuah replika tanpa fungsi, sebaliknya hendaklah Majlis Ulama tersebut berperanan membimbing perjalanan parti selaras dengan kehendak Islam dalam segala aspek. Tokoh-tokoh agamawan yang jujur, amanah dan progresif yang cintakan parti itu diberi kebebasan untuk membetulkan UMNO. Sekaligus kemelayuan UMNO itu akan kelihatan begitu terikat dengan prinsip-prinsip Islam secara syumul. Jika tidak, dengan pergolakan yang ada sekarang UMNO akan terus kehilangan ruh islami. Sebaliknya, ia akan menjadi padang perlumbaan kuasa yang sebahagian besar mereka bercita-cita mengaut kekayaan harta.

Dengan wujudnya Majlis Ulama yang progresif, diharapkan ahli-ahli UMNO sentiasa berada dalam disiplin dan diberi kesedaran tentang tanggungjawab kuasa adalah bagi melaksanakan amanah Allah dengan bijaksana dan jujur. Namun hendaklah dipastikan bahawa Majlis Ulama itu didokongi oleh mereka yang tidak takut melainkan Allah, bukan ulama fulus yang dalam sejarah UMNO telah banyak merosakkannya”.{http://drmaza.com}


Reblog this post [with Zemanta]

Tuesday, October 7, 2008

Lagi-Lagi HINDRAF.....






Pada mulanya penulis tidak berminat untuk membuat sebarang ulasan mengenai HINDRAF ini tetapi setelah 'puak-puak' ni sudah besar kepala atau dalam loghat Besut kita boleh panggil 'agah' atau 'koyaa' membuatkan penulis rasa penulis juga perlu membuat ulasan berhubung isu HINDRAF ini.

Pertama sekali HINDRAF ini sudah mula tidak hormat majlis keraian orang apabila mereka menyerbu Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri PM dan Menteri kabinet baru-baru ini adalah sememangnya boleh disifatkan 'biadap' atau perkataan kasarnya 'kurang ajar'.

Kalau sekadar datang memeriahkan majlis tak apalah juga, tapi kalau datang hendak merosakkan majlis memang perbuatan itu tidak boleh dimaafkan. Tindakan mereka saling tak tumpah macam di dalam beberapa filem Bollywood (di mana beberapa watak dalam filem tersebut datang menganggu majlis perkahwinan seseorang dan mungkinlah itu adalah 'trade mark' mereka).

Kalau nak buat tuntutan sekalipun janganlah datang merosakkan majlis orang, pilih lah tarikh, tempat dan waktu yang lain. Tuntutan mereka ada kebenaran juga bahawa 'orang-orang kuat' mereka tidak patut ditahan di bawah akta ISA tetapi sepatutnya dihukum bunuh setelah beberapa perbuatan mereka boleh diistilahkan kepada "Penderhakaan kepada YDP Agong" sepertimana Kumpulan Al-Maunah kena dahulu.

Tambahan pula HINDRAF merupakan pertubuhan haram dan boleh dikira sama dengan beberapa kumpulan-kumpulan pemberontak seperti Gerakan Pembebasan Tamil Elam dan Al-Maunah.

Kepada rakyat Malaysia yang beragama Hindu, artikel ini bukan bertujuan untuk 'memusuhi' mereka, sebaliknya penulis sekadar ingin melahirkan pandangan penulis terhadap pertubuhan haram tersebut dan perlu ingat penulis juga mempunyai ramai kawan daripada pengganut Hindu dan selesa berkawan dengan mereka.

Kepada HINDRAF pula mereka patut fikir dengan lebih matang dan rasional kerana kalau nak dibandingkan nasib pengganut Hindu di negara ini dengan negara tempat asal mereka memang bezanya macam langit dan bumi kerana pengganut agama itu hidup dengan lebih selesa di negara yang bernama Malaysia ini. Kalau tak percaya hayati dan tatapilah gambar-gambar kemiskinan di India di bawah ini:

Sedarlah mereka lebih beruntung tinggal di Malaysia kalau nak dibandingkan rakan sebangsa mereka di tanah tempat asal mereka, bersyukurlah mereka dapat hidup dengan aman dan damai abadi di sini. Pesan penulis buat HINDRAF "jangan cuba bermain dengan api, kerana kelak ia akan membakar diri"
Reblog this post [with Zemanta]

Monday, October 6, 2008

Rumah Terbuka Aidilfitri Di Sekitar Daerah Besut







"Rumah Terbuka" istilah paling popular apabila Hari Raya Aidilfitri berkunjung tiba kerana biasanya apabila adanya hari raya orang yang merayakan Hari Raya ini pasti akan membuat rumah terbuka. Beberapa pemimpin-pemimpin di daerah Besut juga tidak ketinggalan untuk mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri ini.

RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MANTAN MB TERENGGANU

Pada hari raya kedua yang lalu mantan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh telah mengadakan rumah terbuka di kediamanya di Kg. Tok Has, Besut, Terengganu. Seperti biasa, rumah terbuka beliau sentiasa meriah walaupun beliau sudah tidak bergelar MB Terengganu.

Kedatangan pengunjung boleh dikatakan sama banyak semasa beliau menjadi MB Terengganu dahulu walaupun sudah tidak lagi menjadi MB Terengganu namun rakyat terutamanya di sekitar Besut dan Setiu masih menyanjung tinggi beliau sebagai pemimpin.

Penulis juga sempat mencuri dengar perbualan DS Idris Jusoh dengan beberapa tetamu rumah terbukanya. Antara perbualan yang menarik perhatian penulis ialah perbualan mengenai Pemilihan Agung UMNO, penulis percaya ramai sudah tahu bahawa Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Ketua UMNO Bahagian Besut akan mencalonkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden baru UMNO. Namun, itu bukan topik yang dibualkan mereka. Apa yang penulis dengar ialah tetamu tersebut mencadangkan DSIJ bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan yang akan datang. DSIJ hanya menjawab "tengok lah dulu kalau saya layak" sambil ketawa.

Berbalik semula kita kepada cerita Rumah Terbuka Aidilfitri DSIJ, pada hari itu pengunjung tidak putus-putus berkunjung ke rumah terbuka tersebut ini adalah mungkin kerana aura DSIJ masih kuat di hati rakyat Terengganu sehinggakan Ahmad Said mencuba pelbagai cara untuk melunturkan Aura beliau kerana bimbang kedudukanya sekarang bakal dirampas kembali oleh DSIJ.

RUMAH TERBUKA MANTAN MENTERI JPM

Ahli Parlimen Besut yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Datuk Dr. Abdullah Mohd Zain) juga tidak ketinggalan untuk mengadakan rumah terbukanya pada hari raya ketiga (kalau tak silap) di kediamanya di Kampung Bharu.

Sambutan rumah terbuka DDAMZ juga boleh dikatakan meriah dan sama seperti semasa beliau menjadi Menteri di JPM dahulu, langsung tidak berubah, pengunjung juga bukan sahaja sama banyak dengan dahulu tetapi boleh dikatakan bertambah.

RUMAH TERBUKA EXCO KESIHATAN NEGERI

Adun Kuala Besut yang juga Exco Kesihatan Negeri Dr. Abdul Rahman jugat idak ketinggalan mengadakan rumah terbuka di kediamanya dan juga kliniknya di Pekan Kuala Besut. Dr. Rahman yang tidak sampai satu penggal menjadi ADUN dan juga EXCO namun kehadiran pengunjung boleh dikatakan ramai juga.

Rumah terbuka beliau diadakan pada hari raya keempat dan ini adalah kali pertama beliau mengadakan rumah terbuka selepas bergelar ADUN dan EXCO. Dr. Rahman sentiasa mesra melayan pengunjung di kediamanya itu tambahan pula kliniknya juga memang terkenal bukan sahaja terkenal di Besut malah turut terkenal di Kelantan.
Reblog this post [with Zemanta]

Sunday, October 5, 2008

PAS bakal Tinggalkan 'Pakatan Rakyat'?

Official Logo of Pan-Malaysian Islamic Party (...Image via Wikipedia




Khabar angin bertiup kencang beberapa hari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Khabar angin tersebut disebarkan bukan sahaja menerusi SMS, mulut ke mulut malah juga melalui beberapa media alternatif yang sudah mula diterima ramai sejak akhir-akhir ini.

Khabar angin tersebut yang mengatakan ada kemungkinan PAS bakal meninggalkan Pakatan Rakyat kerana kecewa dengan kegagalan misi 916 dan juga kehadiran mereka di dalam Pakatan Rakyat seolah-olah tidak wujud dan beberapa keputusan yang telah diambil oleh Pakatan Rakyat juga dikatakan membelakangkan PAS selaku komponen Pakatan Rakyat.

Pada mulanya penulis tidak begitu berminat untuk mengutarakan isu ini, tetapi selepas beberapa ahli PAS yang penulis temui memperkatakan perkara yang sama penulis merasa terpanggil untuk turut sama mengulas isu hangat ini.

Oleh kerana kesibukkan menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung menyebabkan penulis agak lewat sedikit mengutarakan isu ini, namun kata orang "Better Late Than Never" jadi penulis memilih artikel pada hari ini untuk mengulas isu ini dengan lebih jelas lagi.

SUKAR BUAT PAS UNTUK TINGGALKAN PAKATAN RAKYAT

Bagi penulis sungguh sukar buat PAS untuk meninggalkan Pakatan Rakyat kerana meninggalkanya tidak semudah menyertainya. Faktor pertama yang mungkin menyukarkan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat iailah kalau kita lihat Menteri Besar yang berkuasa di Perak adalah ahli PAS sedangkan Kuasa DUN sebenarnya adalah dari DAP agak sukar jugalah untuk PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana sekiranya mereka meninggalkan Pakatan Rakyat wakil mereka sudah tentu tidak lagi menjadi Menteri Besar di Perak.

Mungkin mereka boleh kekal menjadi Menteri Besar di Perak sekiranya mereka bergabung dengan UMNO, tetapi bagi penulis perkara sedemikian sukar berlaku kerana PAS lebih suka duduk bersendirian lagipun berdasarkan khabar angin yang disebarkan PAS ingin tinggalkan Pakatan Rakyat dan tidak akan bergabung dengan UMNO tetapi lebih suka duduk sendirian.

FAKTOR DALAMAN PAS

Faktor dalaman PAS juga merupakan salah satu kesukaran yang bakal dihadapi oleh PAS sekiranya mereka ingin keluar daripada Pakatan Rakyat, sebagaimana yang kita maklum terdapat dua kumpulan besar di dalam PAS iaitu Kumpulan Pro Ulama' dan Kumpulan Pro' Professional (Pro Anwar Ibrahim/ Stealth Soldier Anwar Ibrahim).

Mungkin kumpulan Pro Ulama' akan setuju sekiranya PAS keluar daripada Pakatan Rakyat tambahan pula kebanyakkan daripada kumpulan ini tidak senang dengan pendekat sekularisasi yang ditonjolkan oleh Anwar Ibrahim.

Namun, strategi yang telah dipasang oleh Anwar Ibrahim sejak awal-awal lagi dengan membawa masuk ramai Professional yang pro kepadanya ke dalam PAS mungkin akan mengugat usaha PAS untuk meninggalkan Pakatan Rakyat. Kumpulan Profesional di dalam PAS yang juga 'stealth soldier' Anwar Ibrahim ini pasti akan bertindak untuk mengagalkan usaha PAS untuk keluar dari Pakatan Rakyat.

Kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah PAS tidak mungkin akan keluar dari Pakatan Rakyat kerana banyak aral yang melintang tambahan pula Kumpulan Profesional sudah menguasai PAS sedangkan Kumpulan Pro Ulama' sudah mula kehilangan kuasa sedikit demi sedikit.

Reblog this post [with Zemanta]

Saturday, October 4, 2008

Kita Zuriat Adam, Bukan Zuriat Iblis

Allah mengulangi kisah Adam dan Iblis di beberapa tempat dalam al-Quran. Barangkali bagi mereka yang kurang memahami al-Quran akan menganggap itu adalah pengulangan biasa yang tidak memberikan apa-apa impak yang berlainan. Sebenarnya, sudah pasti tidak!

Al-Quran adalah kitab yang tersusun dengan segala mukjizat yang membuktikan kebesaran Allah Yang Menurunkannya. Pengulangan cerita itu disebabkan faktor-faktor tersendiri yang menuntut kisah Adam dan Iblis itu dibangkitkan semula. Kisah tersebut adalah tonggak panduan kepada kehidupan manusia atas muka bumi ini.

Kisah Adam dan Iblis diketahui oleh semua muslim, bahkan ia juga terkandung dalam Bible. Ringkas ceritanya Iblis yang enggan memberikan penghormatan kepada Adam seperti mana yang Allah perintahkan. Bahkan dia mempertikaikan arahan tersebut. Lantas dia dihukum kufur dan dilaknat.

Sementara Adam yang ditempatkan di syurga, kemudiannya telah ditipu oleh Iblis yang menyebabkan dia melanggar arahan Allah agar jangan mendekati pokok larangan. Kesannya, dia dihukum dengan ditempatkannya di atas muka bumi namun disertai dengan keampunan dan rahmat Allah.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 34-37:

(maksudnya) Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”, lalu mereka semua tunduk melainkan Iblis; dia enggan dan takbur, dan menjadilah dia daripada golongan yang kafir. Dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah daripada makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu daripada golongan zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.

Pada mereka yang tidak faham kisah ini mungkin menganggap adanya ‘double standard’ dalam hukuman Tuhan terhadap dua makhluknya yang berbeza. Setiap mereka telah melakukan satu kesalahan, tetapi yang satu dihukum begitu berat sehingga kiamat, sementara satu yang lain dihukum dengan hukuman yang tidak kelihatan terlalu berat, bahkan diampun dan dirahmati.

Sekali pandang tanpa penelitian, mungkin ada yang tersalah anggap, seakan Iblis memang sengaja hendak dihukum demikian rupa, sedangkan Adam pula diampunkan, padahal sama-sama melakukan satu kesalahan.

Sebenarnya tidak! Sama sekali tidak sama antara kesalahan Iblis dan Adam. Iblis menderhakai Allah atas kesombongan dan ketakaburan. Dia bukan sahaja tidak taat kepada arahan Allah, tetapi dia mencabar peraturan atau hukum yang telah Allah tetapkan. Dia menganggap hukum itu tidak wajar, sekaligus dia mencabar kemutlakan hak Allah dalam menetapkan hukum.

Sementara Adam melakukan penderhakaan disebabkan kecuaian, kesilapan dan mengikut perasaan sehingga melupai hukum. Dalam Surah al-A’raf, Allah menceritakan bagaimana jawapan Iblis terhadap penderhakaannya, firman Allah: (maksudnya):

“Apakah yang menghalangmu untuk sujud ketika Aku perintahkanmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (Wahai Tuhan) jadikan daku daripada api, sedangkan dia Engkau jadikan dari tanah”. (ayat 12).

Namun Adam yang juga bersalah tidak pernah mencabar peraturan Allah. Adam tidak pernah menyatakan bahawa kewujudan pokok berkenaan di syurga amat tidak sesuai dan boleh mengelirukan maka dia tidak patut dianggap bersalah. Tidak pula Adam mempertikaikan mengapa Iblis itu diwujudkan dan diberi peluang menggodanya.

Sebaliknya, dengan penuh keinsafan dan perasaan kehambaan akur atas kesalahan diri lantas memohon keampunan dan taubat. Dalam Surah al-A’raf juga Allah menyebut: (maksudnya)

“Dengan sebab itu dapatlah dia (Iblis) menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (daripada) syurga lantas Tuhan mereka menyeru mereka: “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan aku katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?” Mereka berdua berkata: “Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampunkan kami dan kasihani kami, nescaya kami tergolong daripada orang-orang yang rugi”. (ayat 22-23).

Kesalahan memang kesalahan. Namun titik tolak kesalahan dan sikap atas kesalahan amat berbeza antara Iblis dan Adam. Iblis bukan sahaja menderhaka, bahkan mempertikaikan atau meremehkan peraturan Allah.

Sedangkan Adam dan isterinya, apabila melakukan dosa, menginsafi diri dan memohon keampunan Allah atas dosa tersebut. Justeru itu, hukuman Allah ke atas dua makhluknya tersebut tidak sama disebabkan perbezaan nilai kesalahan, bukan kerana Tuhan itu menghukum secara ‘double standard’.

Kisah Iblis dan Adam diulang berkali-kali dalam al-Quran agar kita mengambil pengajaran dalam kehidupan. Setiap ulangan ada isu dan pengajarannya yang tersendiri. Kita seperti bapa kita Adam, terdedah kepada salah dan silap, cuai dan alpa yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam dosa.

Namun, seperti mana bapa kita Adam, kita tidak akan mempertikaikan hukum atau peraturan yang Allah tetapkan. Kita akui kelemahan diri, tanpa kita menghalalkan kesalahan dan dosa dengan alasan yang menunjukkan kita meremehkan hukum Tuhan.

Kita bukan Iblis yang apabila berdosa bersikap takabur dan enggan akur atas kelemahan diri, sebaliknya menuding sesalahan kepada peraturan yang Allah tetapkan. Sesiapa yang bertindak seperti Iblis, maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang bersikap seperti Adam, maka dia mendapat keampunan tuhannya.

Allah menceritakan kisah bapa kita Adam, agar kita mencontohinya apabila melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan bukan perkara yang paling menimbulkan kemurkaan Allah, tetapi enggan akur dan bertaubat itulah membawa kemurkaan besar di sisiNya.

Kita anak Adam, teladani sikap bapa kita. Sabda Nabi s.a.w.

“Semua anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).

Kisah Adam dan Iblis menjadi paksi dalam banyak episod kehidupan insan. Sebab itu dalam Islam sesiapa yang membuat dosa dan menghalalkan tindakannya maka dia menjadi kafir. Sementara sesiapa yang membuat dosa namun tidak menghalalkannya maka dia dianggap sebagai seorang fasiq (ahli dosa), namun tidak membawa kepada kufur. Melainkan jika dia bertaubat.

Ini seperti sesiapa yang tidak berpuasa Ramadan tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak, maka dia berdosa dan menjadi fasik. Namun jika dia menghalalkan perbuatannya itu seperti menyatakan ‘bagi aku tidak salah jika aku tidak berpuasa pun’, atau dia mempertikaikan hukum seperti dia menyatakan ‘syariat puasa itu tidak sesuai atau tidak ada sebarang faedah untuk kita ikut’ maka dia menjadi kafir, terkeluar dari Islam. Ini kerana dia mempertikaikan atau mencabar Allah Yang Maha Agung.

Perbuatan yang seperti itulah yang dilakukan oleh Iblis lalu dihukum kufur oleh Allah. Sama juga dengan pelaku dosa. Jika seseorang berzina maka dia berdosa dan fasiq (fasik). Namun, jika menghalalkan perbuatan zina seperti menyatakan ‘apa salahnya jika suka sama suka’, atau dia menyatakan ‘jika pasangan dah rela, mana boleh berdosa’, atau menyebut ‘zina macam sedekah, jika orang bagi tidak salah kita mengambilnya’ maka pengucap ungkapan-ungkapan yang seperti ini terkeluar dari Islam. Ini kerana dia telah mempertikaikan hukum Allah dan mencabar apa yang telah ditetapkanNya.

Dia seperti Iblis, yang mempertikaikan arahan Allah. Melainkan jika dia hilang akal atau gila atau apa sahaja yang menunjukkan dia tidak bermaksud mempertikaikan, atau meremehkan hukum Allah sama sekali

Saya amatlah terkejut apabila ada ‘orang politik’ yang sanggup menyamakan zina yang dia akui melakukannya dengan sedekah yang disuruh oleh Islam. Sanggup dia menghalalkan perbuatannya yang buruk itu atas alasan dia diumpan oleh orang lain, maka itu baginya macam sedekah yang jika ‘diberi boleh diambil’.

Alangkah buruk perbuatan dan akidahnya. Dia samakan perkara yang Allah murka dengan perkara yang Allah suka. Apa yang lebih pelik, tidak pula kedengaran dengan jelas tokoh-tokoh agama dalam kem politik ‘si celupar itu’ mengulas perkara ini. Padahal ramai di kalangan mereka yang begitu tangkas dan cepat bertindak jika ada ucapan-ucapan yang menyalahi agama dibuat oleh musuh-musuh politik mereka.

Bahkan ucapan yang masih lagi samar dan boleh diberi maksud yang berbagai pun dibantai sampai tidak cukup tanah. Tiba-tiba apabila kena giliran sahabat sendiri yang mengucapkan perkataan yang buruk lagi parah itu, ramai yang menyepi diri. Tiada yang berani menyuruh dia bertaubat dan menarik balik secara terbuka, bukan menyuruh orang lain ‘berbahasa’ untuknya.

Di mana isu-isu agama dan moral yang diperkatakan selama ini? Ternyata, hukuman politik berbau agama tidak sama dengan pendirian agama mengenai isu politik. Bukan saya ingin bermusuh dengan sesiapa. Kolum saya ini telah mengambil risiko menegur rakyat dan pemerintah. Apakah mereka hanya dapat terima apabila saya menegur pemerintah, tetapi membantah jika mereka ditegur? Atau apakah mereka hanya berani menegur pemerintah dan mendiamkan diri apabila kesalahan itu dibuat oleh ‘geng sendiri’?.

Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya yang membinasakan mereka yang terdahulu dari kamu adalah; apabila orang yang berkedudukan mencuri maka mereka biarkan, jika orang yang lemah mencuri maka mereka laksanakan hukuman ke atasnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berbalik kepada kisah Adam dan Iblis. Kisah ini menjadi teras dalam akidah Islam. Islam agama yang akur bahawa insan sentiasa terdedah kepada dosa dan kesalahan. Selagi mana insan insaf bahawa kesalahan itu berpunca daripada kelemahan dirinya sendiri, dia mempunyai ruang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah.

Namun apabila insan yang melakukan dosa itu sombong dan bongkak dengan merasakan dia tidak bersalah atas perbuatannya, maka tempatnya bersama dengan Iblis yang menghuni tetap neraka yang amat dahsyat. Firman Allah dalam Surah Sad:

(maksudnya) (setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali, -Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. Allah berfirman: “Hai lblis! apa yang menghalangmu dari turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur, ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya; Engkau (Wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah”. Allah berfirman: “Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana eesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu terus menerus hingga ke hari kiamat!”. Iblis berkata: ” Wahai Tuhanku! jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) “. Allah berfirman: ” Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh, hingga ke hari yang termaklum “. Iblis berkata: “Demi kekuasaanmu (Wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hambaMu (zuriat Adam) yang dibersihkan”. Allah berfirman: “Maka Akulah Tuhan Yang sebenar-benarnya, dan hanya perkara Yang benar Aku firmankan -Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan jenismu dan dengan orang-orang yang menurutmu daripada zuriat-zuriat Adam (yang derhaka) semuanya “. (ayat 73-85).

Setiap kita ini ada kelemahan diri dan kesalahan yang kita lakukan. Namun sebagai insan yang merupakan zuriat Adam, kita sentiasa akur atas kelemahan dan kesalahan, inginkan keampunan serta memohon kemaafan Tuhan selalu. Kita tidak akan mempertikaikan apa yang telah Allah nyatakan dalam kitabNya al-Quran atau dalam sunnah yang sahih daripada Nabi Muhammad s.a.w.

Jika kita gagal melaksanakan perintah Allah, atau melanggar larangannya kita akan akui kelemahan diri, memohon agar dikurniakan taubat yang ikhlas. Sama sekali kita tidak kata hukum Allah tidak baik. Atau tidak sesuai. Atau halal dan haram itu sama sahaja. Atau, bagiku perkara yang Allah haramku itu tidak haram. Tidak! Sama sekali tidak! Hanya pengikut Iblis yang mengucapkan seperti itu. Kita akan menyebut apa yang Allah ajar:(maksudnya)

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. (Surah al-Baqarah, ayat 286).


Reblog this post [with Zemanta]