Hulurkan Sumbangan

Friday, August 8, 2008

Tangan Mencatat Di Bumi, Jiwa Mendongak Ke Langit





Seperti mana kepetahan dan kefasihan itu tidak dimiliki oleh semua orang, demikian juga ketajaman dan ketangkasan pena itu juga tidak dimiliki oleh semua insan. Bahkan ramai yang fasih lidahnya, tidak lancar pula penanya.

Demikian, ramai yang lancar penanya, tidak fasih pula lidahnya. Hanya insan-insan tertentu yang Allah kurniakan kefasihan lidah dan kelancaran pena. Apapun, samada lidah yang fasih, atau pena yang lancar kesemuanya adalah anugerah Allah SWT yang akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak.

Firman Allah: (maksudnya) Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Peranan lidah dan pena adalah sama; iaitu menyampaikan mesej kepada sasaran yang ditujukan. Mesej yang disampaikan itu –sepatutnya- menggambarkan apa yang tersimpan dalam benak perasaan atau pemikiran seseorang penyampai. Jika dia menyampai sesuatu yang bercanggahan dengan apa yang dipercayainya, maka dia seorang pengkhianat.

Kemampuan menyampaikan sesuatu mesej kepada sasaran sehingga kadar ilmu atau perasaan yang ada tersimpan dalam jiwa atau pemikiran seseorang penyampai itu difahami atau dirasai oleh sasarannya, adalah pengukur tahap keupayaan seseorang pembicara atau penulis. Pembicara atau penulis yang baik menjadikan sasaran dapat menghayati perasaannya, atau menikmati ilmunya. Ini bukanlah sesuatu yang mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang.

Pena Dan Lidah Wajib Berperaturan

Maka, seperti lidah itu ada peraturan dan amanah yang Allah bebankan ke atas insan yang mampu menyampaikan mesej, demikian juga para penulis.

Firman Allah:(maksudnya) Tiada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisiNya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Bahkan kadang-kala bebanan tanggungjawab penulis jauh lebih besar. Sesuatu perkataan buruk yang dilafazkan mungkin hanya berakhir dalam satu majlis, atau tersebar dalam masyarakat dalam tempoh tertentu.

Tetapi, sesebuah buku, atau rencana yang buruk mungkin diwarisi dari generasi ke generasi. Justeru, kadar dosa yang ditanggung oleh seseorang itu berdasarkan kadar keluasan daerah keburukan yang ditebarkan.

Adalah tidak mustahil kadang-kala hanya dengan satu perkataan yang ditulis menyebabkan kerosakan yang bukan sedikit kesannya. Demikian juga, tidak mustahil juga, dengan satu perkataan dapat diselamat kezaliman dari tercetus.

Sabda Nabi s.a.w:(maksudnya): “Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai ke tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian lalu dengannya Allah mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat Malik 2/163 dan al-Tirmidhi 4/559).

Sepatah ucapan atau tulisan mampu menghalang kezaliman atau menyelamatkan individu, masyarakat dan negara. Juga, sepatah ucapan atau tulisan boleh menyebabkan ada pihak yang dizalimi, atau kerosakan individu, masyarakat dan negara.

Ini merangkumi ucapan dalam pidato, sembang-sembang, bisik-bisikan dan seumpamanya. Demikian juga tulisan samada dalam bentuk surat menyurat, sms, pada iklan, rencana, buku dan seumpamanya.

Betapa banyak tulisan yang telah menggerakkan perkara-perkara besar yang memberi manfaat kepada masyarakat. Juga betapa banyak pula tulisan yang mampu menghalang kezaliman pihak tertentu.

Demikian juga betapa banyak tulisan yang membawa keburukan, kezaliman, pengubahan hakikat dan fakta sebenar dalam kehidupan masyarakat.

Pena Jujur Bukan Pedang Si Zalim
Pena yang amanah bukan seperti pedang si zalim yang mencederakan sesiapa sahaja yang dibencinya. Pena yang amanah bagaikan pedang keadilan yang hanya menghukum yang zalim dan mempertahankan yang benar.

Pedang si zalim amat berbeza dengan pedang perwira yang soleh. Pedang si zalim tidak pelu bertanya tentang salah dan bukti untuk ia menebas seterusnya. Dia hanya perlu tahu siapa yang ada di hadapannya? Orang yang dia suka atau yang dia benci.

Sesiapa yang dibenci, maka dia dihukum walaupun dosanya tidak terbukti, atau kadar dosa itu belum cukup untuk dia dihukum demikian rupa. Ini bercanggah dengan arahan Allah dalam

Surah al-Maidah: 8:(maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Penulis Bukan Pelacur
Pena yang menulis atas kehendak orang lain sedangkan empunya tahu apa yang ditulis itu meminggirkan hakikat kebenaran sebenarnya adalah ‘pena lacur’. Seperti seorang pelacur yang memperalatkan tubuh dan rupanya untuk memuaskan nafsu orang lain atas upahan yang dijanji atau diharapkan, demikian penulis yang memperalatkan kebolehannya mengatur rangkap ayat dan bahasa demi memuaskan kehendak orang lain kerana mengharapkan sesuatu. Allah mengutuk Ahl al-Kitab disebabkan mereka menyelewengkan fakta kitab-kitab Allah kerana mengharapkan habuan dunia.

Firman Allah:(maksudnya) : Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab (Taurat) dengan tangan mereka (mengubah perkataan Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini datang dari sisi Allah”, supaya mereka dapat membelinya dengan harga yang murah (keuntungan dunia yang sedikit). Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu. (Surah al-Baqarah: 79).

Penulis Bukan ‘Penyorok Barang’.
Penulis yang amanah juga bukan seperti ‘penyorok barang’ yang menyembunyikan bahan untuk dikeluarkan apabila harga di pasaran baik. Atau terus menyembunyikannya jika dirasakan harga pasaran tidak menguntungkan. Tidak! Pena yang amanah akan mengeluarkan fakta dan menyuarakan kebenaran sekalipun ‘pasaran’ tidak memberangsangkan. Penulis yang jujur tidak akan menyembunyikan fakta yang membela kebenaran demi menunggu ‘harga pasaran’. Jika para penulis bersikap begitu, pena kebenaran akan mati, lantas akan hidup atas bangkai itu tinta kemunafikan. Sebab itu Allah melaknat penyembunyi fakta dalam

firmanNya:(maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di Dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).

Pena Bukan Perakam Tanpa Akal

Penulis bukan pelapor setiap yang diterimanya tanpa memikirkan kebenaran dan kesan laporan tersebut. Penulis bukan seperti alat perakam yang hanya merakam apa sahaja tanpa dapat menilai sama ada benar atau salah. Penulis yang amanah, jikapun dia melaporkan sesuatu maklumat yang meragukan, hendaklah dia memberikan komentarnya yang amanah lagi adil mengenainya.

Agar pembaca yang tidak memiliki kemampuan menilai sendiri tergerak untuk berfikir atau merenung sesuatu maklumat itu agar tidak ditelan mentah-mentah.

Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Cukuplah untuk seseorang itu dianggap berdusta dengan dia menceritakan setiap yang dia dengar” (Riwayat Muslim).

Taqwa Memandu Pena
Apabila ilham datang dan semangat pun mengundang, maka pena penulis pun berlari pantas. Sehingga jika tidak berhati-hati, dek derasnya arus idea yang mengalir, dia mungkin terlupa berpaut pada dahan tanggungjawabnya sebagai seorang yang akan dipersoalkan Allah pada Hari Kiamat. Dia mungkin terlupa tujuannya, juga kesannya.

Dia mungkin menganggap tulisannya hanya coretan pena, atau taipan di maya internet, lalu dia lupa ada pihak yang mungkin tercedera tanpa dosa atau tertekan tanpa kesalahan. bak kata al-Quran dalam

Surah al-Nur ayat 15: (maksudnya): “ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”.

Sabda Nabi s.a.w. ketika haji terakhir baginda: “Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari), seperti haramnya (mencemari) hari ini (hari korban), bulan ini (bulan haram) dan negeri ini (Mekah). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Penutup

Wahai penulis, apa yang engkau tulis atas lembaranmu, ia ditulis di sisi Tuhanmu! Maka ketika tanganmu mencatat di bumi, jiwamu hendaklah mendongak ke langit tinggi!!!


dipetik dari:

http://drmaza.com

No comments: