Walaupun beliau diminta menjadi panelis untuk Wacana Perdana ‘100 Hari Pakatan Rakyat’ pada esok malam di Lundang, Kota Bharu bersama Saifuddin Nasution dan Dr And Aziz Bari, Dr Asri berkata, “apa yang saya cakapkan selama ini adalah atas dasar kebenaran dan tidak bermakna saya adalah penyokong mana-mana parti.”
“Pandangan setuju atau tidak tentang satu-satu pendirian parti itu bukan petanda yang saya menyokong mereka. Kita perlu ada cara berfikir yang tersusun. Kalau saya perlu sokong, saya sokong begitulah sebaliknya kalau saya perlu kritik,” katanya.
Beliau turut membidas cakap-cakap yang mengatakan beliau memihak pada satu parti.
“Adakah kerana saya pergi ke satu majlis anjuran PKR bermakna saya ahli PKR?. Inilah cara berfikiran ahli-ahli politik di Malaysia yang jumud, yang berkehendakkan kita menyokong mereka 24 jam. Tidak semestinya saya menyokong PKR kalau saya berucap di medan mereka. Dan tidak semestinya saya menyokong BN kalau saya berada di tempat mereka. Saya bebas dari daerah itu,” jelasnya.
Menurut Dr Asri, beliau cuma memberi pandangan yang berbeza dan objektif.
“Kita perlu bersifat objektif kerana kita bukan malaikat yang boleh membuat pemilihan mutlak di atas kebenaran. Ada kalanya boleh jadi betul satu perkara tetapi salah di masa yang lain. Kebenaran boleh menjelma dalam berbagai wajah,” katanya.
Katanya, sudah sampai masanya kita mengajar rakyat berfikir secara objektif.
“Rakyat perlu bercakap dengan terbuka dan bebas dari cengkaman fikiran yang mengongkong. Rakyat perlu bebas berfikir tanpa dipaksa dan dikongkong berdasarkan facts and figures. Itu baru dinamakan kebebasan,” jelasnya.
Tentang sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat, Dr Asri berkata, “Apakah yang diraikan sepanjang 100 hari itu?”
“Apakah meraikan kerana kerusi politik telah bertukar orang? Atau meraikan kerana hak rakyat telah dikembalikan? Atau keadilan dan kemakmuran rakyat telah disebarkan? Jika ianya sekadar upacara yang hendak diraikan, tidak ada makna,” ulas beliau.
Begitu juga dengan konsert yang dicadangkan. Bagi Dr Asri, memadailah duit yang hendak dibazirkan untuk konsert itu diagihkan kepada orang miskin kerana cara itu lebih bermanafaat.
“Walau apapun, kerajaan kena telus dan bertindak untuk kepentingan rakyat,” kata Dr Asri.
dipetik dari:
sumber asal:
mstar online
No comments:
Post a Comment