Kata para sarjana: “tiada perbalahan dalam istilah selagi maksudnya betulnya”. Apa yang penting ia membuahkan kesan yang positif untuk masa depan umat Islam khususnya dan negara umumnya.
Jam sudah 3.00 petang. Biasanya saya menulis ruangan ini pada pagi Sabtu sehari sebelum rencana ini disiarkan. Hari ini agak lewat. Hanya beberapa jam untuk diserahkan. Saya masih berfikir tentang perundingan UMNO-PAS yang agak panas diperkatakan dimedia.
Saya tidak kisah samada hendak dipilih perkataan muzakarah, atau muqabalah atau hiwar, atau munaqasah, atau musyawarah atau apa sahaja. Selagi tidak menunjuk petanda yang negatif, pilihlah. Walaupun jika saya diberikan peluang memilih, mungkin saya memilih perkataan musyawarah yang berasal daripada syura. Ini kerana ia disebut dalam al-Quran. Namun itu tidak penting.
Kata para sarjana: “tiada perbalahan dalam istilah selagi maksudnya betulnya”. Apa yang penting ia membuahkan kesan yang positif untuk masa depan umat Islam khususnya dan negara umumnya. Jika kuasa-kuasa dunia yang berbagai; Amerika, Eropah, Rusia dan selain mereka boleh duduk semeja –sekalipun berbeza aliran- untuk menentukan masa depan umat Islam dan negara-negara Arab, mengapa pula kita tidak mampu?
Jika mereka yang mempunyai hasrat buruk untuk melanyak Umat Islam sanggup melupai perbezaan antara mereka, apakah kita umat Islam tidak dapat melupai perbezaan antara kita buat seketika demi memastikan masa depan umat Islam dalam negara ini selamat dan terjamin?!. Saya yakin pemimpin-pemimpin kedua parti lebih tangkas dan tulus dalam memikirkan hal ini.
Kita tahu ada pihak yang mula gusar dan mencemburui pertemuan antara dua parti tersebut. Justeru, saya kembali membelek-belek catatan sejarah yang mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri dalam Peperangan Jamal. Peperangan yang disebabkan oleh peristiwa pembunuhan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan r.a. Peperangan yang setiap kali kita mengenangnya, kita akan mengalirkan airmata kekesalan. Cuma kisah bukan Syiah yang hidup dalam nostalgia lama dan enggan keluar daripadanya.
Kita bersedih atas Peperangan Jamal kerana menyebabkan dua pasukan tokoh agung umat iaitu Saidina ‘Ali r.a. dan Ummul Mukminin Saidatina ‘Aishah r.a. bertempur antara satu sama lain. Ia telah menyebabkan wajah sejarah kegemilangan sahabah terguris disebabkan peristiwa yang tidak pernah mereka ingini itu.
Dalam peperangan tersebut juga, dua tokoh besar sahabah yang dijamin syurga oleh Nabi s.a.w iaitu Talhah bin ‘Ubaidillah r.a. dan al-Zubair ibn al-Awwam r.a. berada di pihak ‘Aishah r.ha. Sebelum trajedi yang mengheret peperangan itu berlaku Saidina `Ali telah menghantar wakilnya al-Qa’qa’ bin `Amr bertemu dengan `Aishah dan bertanya tujuan kedatangannya.
Kata al-Qa’qa’: “Wahai ibu! Apakah yang menyebabkan engkau hadir ke sini?”. Jawab `Aisyah: “Wahai anakku! Kerana inginkan perdamaian di kalangan manusia”. Lalu al-Qa’qa’ meminta Talhah dan Zubair hadir, lalu berkata: “Sesungguhnya aku telah bertanya Ummul Mukminin tentang tujuan kedatangannya, beliau menyatakan bahawa tujuannya adalah untuk perdamaian antara manusia”.
Jawab Talhah dan Zubair: “Kami juga demikian”. Kata al-Qa’qa’: “Beritahulah aku apakah cara perdamaian itu dan bagaimana ia boleh dilaksanakan. Demi Allah! Sekiranya kami dapat menerimanya, kita akan melaksanakannya. Jika kami tidak dapat menerima, kami tidak akan mengadakannya?”.
Jawab Talhah dan Zubair: “Membunuh balas pembunuh `Uthman, jika ini tidak dilaksanakan bererti kamu telah mengabaikan al-Quran”. Jawab al-Qa’qa’: “Sesungguhnya hasrat kamu semua ingin membunuh pembunuh `Uthman memanglah baik, tetapi kesan kerosakannya lebih besar daripada itu. Sepertimana kamu tidak mampu menangkap salah seorang yang memberontak kepada `Uthman di Basrah iaitu Harqud bin Zuhair disebabkan enam ribu orang yang menjaganya, demikian jugalah `Ali tidak dapat melaksanakannya sekarang tetapi menunggu masa yang sesuai”.
Hasil dari perbincangan ini, akhirnya `Aishah, Zubair, Talhah dan semua para pengikut mereka setuju untuk memberikan janji setia kepada `Ali dan bersetuju menyerahkan tugas mengambil tindakan terhadap pembunuh `Uthman kepadanya apabila keadaan mengizinkan. `Aisyah r.a pun menghantar wakilnya menemui `Ali r.a. dan memberitahu tujuan mereka ialah untuk berdamai. Kedua-dua golongan begitu gembira dengan keputusan ini.
`Ali bangun berkhutbah di hadapan tenteranya, mengingatkan mereka bagaimana Islam menyatupadukan penganutnya dan bagaimana Allah telah menghimpunkan mereka selapas kewafatan Nabi s.a.w di bawah pemerintahan Abu Bakar kemudian `Umar dan kemudiannya `Uthman. Selepas itu berlakulah apa yang berlaku disebabkan golongan yang mencari kepentingan dunia dan dengkian nikmat Allah yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya.
Seterusnya `Ali menegaskan: “Besok aku akan pergi berjumpa `Aishah dan mereka yang bersamanya untuk berdamai, kamu semua akan mengikutiku. Namun jangan ada seorang pun yang terlibat membantu pembunuhan `Uthman turut bersamaku”. Apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut.
Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai di atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka. Lalu ada di kalangan mereka yang mencadangkan agar diambil tindakan terhadap `Ali seperti yang mereka telah lakukan terhadap `Uthman iaitu membunuhnya.
Cadangan ini dibantah oleh kepala penghasut mereka iaitu `Abdullah bin Saba’ sambil berkata: “Buruk sungguh pandangan tersebut, kalau kita membunuhnya kita juga akan dibunuh. Wahai para pembunuh `Uthman! Jumlah kita hanyalah dua ribu lima ratus orang, sedangkan para pengikut Talhah dan Zubair berjumlah lima ribu orang, kita tidak ada kemampuan menghadapinya dan mereka itu mahukan kita”. Mereka terus berbincang, akhirnya `Abdullah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan terlebih dahulu supaya peperangan tetap tercetus.
Maka pada malamnya, tentera di kedua-dua belah pihak tidur dengan hati yang senang dan puas di atas keputusan yang mereka perolehi. Sebaliknya para pengkhianat yang bimbangkan kesatuan umat Islam pula tidur dengan penuh kerisauan dan keresahan. Seperti yang dirancang, sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji.
Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak dan berakhir dengan kemenangan di pihak `Ali.
(Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/248-249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Saya bimbang di zaman ini masih ada kelompok Abdullah bin Saba yang bimbangkan perdamaian antara sesama umat Islam. Bahkan beberapa tokoh politik bukan musuh dengan jelas mempertikaikan hasrat murni tersebut. Malang lagi, terdapat juga di kalangan umat Islam mempertikaikannya sekalipun pemimpin kedua-dua pihak secara jelas telah bersetuju. Mereka ini akan berusaha sedaya mungkin agar tidak akan lahirnya perdamaian antara umat ini.
Walaupun parti-parti politik yang ada itu tidaklah boleh untuk disamakan dengan keimanan, kejujuran dan kesolehan ‘Ali, ‘Aishah, al-Zubair dan Talhah, tetapi pengajaran peristiwa boleh diambil. Jika mereka yang begitu hebat, dapat dikeliru oleh Abdullah bin Saba dan pengikutnya sehingga tergamam yang membawa kepada peperangan, siapalah kita di zaman ini? Lebihnya, kita ada bekalan sejarah mereka yang membantu kita agar lebih berhati-hati. Moga kita tidak ulangi kesilapan mereka.
Setakat ini para pemimpin utama kedua parti politik tersebut telah menzahirkan nilai-nilai tanggungjawab yang patut dipuji. Cuma kita bimbang mereka yang mempunyai kepentingan tertentu, atau yang setia di belakang musuh merancang agar digagalkan hasrat untuk kedua parti ini untuk duduk berbincang dan merancang tentang masa depan umat. Mereka ini nanti akan menimbulkan berbagai kerenah supaya hasil yang positif itu tidak direalisasikan.
Jika boleh mungkin mereka akan mencetuskan sesuatu kejadian akan pertempuran sengit isu akan tercetus dan hasrat murni akan terbatal. Inilah strategi yang pernah dipraktikkan oleh Abdullah bin Saba dan pengikut. Terbukti berjaya menghancurkan cita-cita perdamaian antara ‘Ali dengan ‘Aishah. Harapan kita, agar genetik ‘Abdullah bin Saba pada zaman ini, tidak akan memperak-perandakan kita sekali lagi.
Ya memang benar, rekod pertarungan politik antara UMNO dan PAS ini bukan sedikit. Entah berapa banyak keperitan yang dirasai oleh PAS dek tindakan Umno, begitu juga sebaliknya. Serang menyerang peribadi, tuduh-menuduh dan pulau-memulau telah mencemar hubungan yang sepatutnya antara kedua parti ini. Inilah hasil daripada demokrasi ala Barat yang dalam banyak keadaan meminggirkan prinsip-prinsip syura dalam Islam.
Bagi saya, ketegangan yang menghalang untuk mereka duduk semeja selama ini, bukanlah sangat soal dasar. Tetapi ia lebih menyentuh soal perasaan, persepsi dan soal hati yang terluka. Juga mungkin kerana telah terlepas cakap, atau jaga hati pengikut atau kepentingan tertentu. Buktinya UMNO boleh duduk dengan MCA, MIC dan lain-lain parti yang amat berbeza antara mereka. PAS boleh duduk dengan Semangat 46, DAP, PKR yang ternyata amat berbeza antara mereka dari segi dasarnya. Namun, apabila adanya kepentingan yang sama, semua mereka dapat duduk semeja.
Hari ini kepentingan umat Islam lebih besar dan utama untuk dihayati sebagai kepentingan bersama PAS dan UMNO. Memang banyak sejarah pahit antara kedua parti itu. Sejarah buruk semalam diambil pengajaran, bukan lagi untuk kita ulangi. Tidak juga untuk kita terus mengingatinya sehingga terpaksa hidup dalam kesedihan lalu kita tidak berupaya lagi memandang masa depan yang gemilang.
Kita bawa sejarah pahit sebagai bekalan pengajaran, untuk kita menghadapi cabaran. Melainkan jika ada penipuan secara jelas, atau mesyuarat yang ternyata tidak tunduk kepada kaedah dan peraturan, atau jelas dari awal kesannya hanya keburukan untuk umat, maka tentu tidak wajar diteruskan.
Namun, telah ternyata umat di kala ini amat memerlukan kesefahaman antara mereka dalam saat yang sebegini untuk kepentingan semua, yang termasuk dalamnya kedua parti itu sendiri. Maka mereka mesti menelan jika ada kepahitan pun demi masa depan yang lebih baik.
Parti-parti ini mesti jadi seperti seorang ibu yang sanggup menanggup keperitan perasaan dan kesedihan silam demi masa depan anak-anaknya yang terus membesar. Kadang-kala seorang ibu terpaksa bersabar dengan kehidupan yang tidak selesa untuknya, tetapi demi hari esok yang bahagia untuk anaknya, dia telan jua.
Para pejuang juga begitu. Betapa banyak mereka terpaksa mengharungi keperitan hidup, tohmahan, ejekan, makian, penghinaan, sangkaan buruk dan berbagai lagi hanya semata untuk membawa obor cahaya agar menerangi perjalanan orang lain. Hanya yang harapkan atas pengorbanan itu syurga Allah di Hari Akhirat kelak.
Para pemimpin yang ikhlas juga terpaksa menanggung perkara yang tidak disukai, demi kebaikan pengikut mereka. Allah berfirman kepada Nabi s.a.w: (maksudnya): “Maka dengan sebab rahmat daripada Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari mendampingimu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. (Surah Ali ‘Imran: ayat 69).
Dalam ayat ini jelas Allah mengingatkan Rasulullah s.a.w agar janganlah kesalahan dan kesilapan pengikut baginda itu menghalang baginda untuk terus bermusyuarat dengan mereka dalam perkara-perkara yang wajar untuk diperbincangkan bersama. Begitulah sepatutnya kita semua.
Jika para pemimpin kedua-dua itu nanti berunding dan berbincang agar mereka dapat memperolehi ganjaran pahala di sisi Allah, tentulah perundingan itu mendapat berkat dan rahmat. Jika ada yang berunding untuk menjaga kerusi dan pengaruh dalam politik, maka itulah nanti akan menjadi punca kegagalan. Walaupun mereka ada perbezaan dan perasaan yang tersimpan, namun memang nostalgia itu dikenang, tapi masa depan hendaklah dipandang.
No comments:
Post a Comment