Hulurkan Sumbangan

Tuesday, September 30, 2008

BesutLonih.com ucap Selamat Hari Raya


Get Hari Raya Graphics Here


Assalamualaikum....

Esok kita akan beraya selepas sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan. Esok juga dikatakan hari kemenangan buat kita selepas berhempas pulas menahan dugaan dan rintangan di bulan puasa.

Penulis mengambil kesempatan
ini untuk mengucapkan Selamat Hari Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini. Dan dikesempatan ini jugalah penulis ingin memohon maaf daripada pembaca sekiranya ada salah dan silap sepanjang penulis bergelar blogger ini.

Maaf Dari Hujung Rambut hingga ke hujung kaki. Terima kasih atas sumbangan anda semua bagi menjadi blog ini sebagai blog bermakna dan berguna. Sekian, Wassalam.

Saturday, September 27, 2008

Pakatan P.A.N atau Pakatan 2A







"Peralihan Kuasa" satu ungkapan yang begitu popular sejak akhir-akhir ini ia turut menghiasi bual bicara rakyat Malaysia mengenai "Peralihan Kuasa" yang pada mulanya diumumkan akan diadakan pada Jun 2010, kemudianya diberitakan pula "Peralihan Kuasa" mungkin berlaku lebih awal. Sementara itu, Calon Presiden UMNO YBM Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan "peralihan kuasa" tersebut adalah tindakan budak-budak dan ia menjadikan negara ini sebagai "Banana Republic" atau "Republik Pisang" yang bermaksud satu sindiran terhadap negara yang korup dan tidak bertamadun.

Mungkin ada yang meramalkan "Peralihan Kuasa" akan berlaku pada Mac 2009 ataupun beberapa bulan daripada tarikh itu. Soalnya adakah perkara ini akan berlaku? Adakah kita masih mempercayai Presiden AAB yang sebelum ini telah menangguhkan Pemilihan Agung UMNO dari beberapa bulan yang lalu kepada Disember ini dan kemudianya ditangguhkan lagi sehingga Mac 2009. Adakah dijamin tiada sebarang penangguhan lagi selepas ini?. Bagi penulis, sekali seseorang itu berbohong kepada penulis, penulis tidak akan mempercayainya selama-selamanya.

Mungkinkan Mac 2009 Hasil Pakatan Abdullah-Najib? (P.A.N)?

Penulis percaya ada yang melihat penangguhan ini berupa hasil pakatan Abdullah-Najib, namun menurut maklumat yang penulis perolehi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai mengatakan Najib adalah orang yang paling menentang penangguhan tersebut namun setelah manipulasi media yang telah dikuasai oleh individu-individu pro Abdullah menyebabkan orang menyangka beliau bersetuju dengan penangguhan tersebut.

Adakah akan ada Pakatan Abdullah-Anwar (Pakatan 2A)?

Sepertimana yang kita tahu dulu, ada satu Perjanjian Sulit yang dikenali sebagai Perjanjian Passport di antara Abdullah dengan Anwar dan oleh perjanjian tersebut turut didalangi oleh Khairy Jamaluddin. Mengikut maklumat yang penulis perolehi, Abdullah dengan Anwar ada membuat satu lagi 'perjanjian sulit' namun sukar dipastikan samaada perjanjian sulit tersebut untuk apa? Adakah untuk menyelamatkan kedudukan Abdullah ataupun kemasukkan semula Anwar Ibrahim ke dalam UMNO?

Persoalan itu masih belum dapat dijawab penulis kerana penulis sedang menunggu maklumat-maklumat yang berikutnya yang bakal disampaikan oleh beberapa informer yang memberikan maklumat pada penulis dan sering menjejaki kemana sahaja kedua-dua pemimpin ini pergi.

Insya-Allah sekiranya penulis mendapat maklumat terbaru, penulis akan dedahkanya dengan secepat mungkin. Akhir kalam, hentikan tangguh-menangguh ia tidak digalakkan di dalam Islam.

Friday, September 26, 2008

Bersama Bersatu Hentikan Islamophobia






Islamophobia satu ungkapan yang begitu popular sejak akhir-akhir ini. Sebagai umat Islam penulis merasa bertanggungjawab untuk menghentikan Islamophobia ini. Islamophobia ini berlaku kerana salah tanggapan yang diberikan oleh kumpulan-kumpulan agama lain dan juga anti Islam.

Terlebih dahulu izinkan penulis menyelitkan satu video yang mungkin boleh mengambarkan Islam sebuah agama yang cintakan kedamaian bukan sepertimana salah tanggapan mereka-mereka yang tidak faham mengenai Islam:



Sebagai umat Islam, semuanya kena bersatu untuk memastikan Islamophobia dapat dihentikan dalam masa yang sama kita berjuang memastikan salah tanggapan mereka yang bukan Islam terhadap Islam dapat dihentikan.

Kumpulan-kumpulan tertentu sering mengaitkan Islam dengan pengganas, tetapi sebenarnya tidak lagipun kalau kita imbas kembali Sejarah penyebaran Islam yang mana Islam tidak disebarkan dengan menggunakan 'mata pedang' ianya membuktikan Islam sememangnya cintakan keamanan dan kedamaian, jangan biarkan damai ini pergi.

Tugas kita sebagai umat Islam ialah memperbetulkan salah tanggapan ini dan sekaligus sekiranya kita berjaya memperbetulkanya secara tidak langsung kita akan dapat menghentikan Islamophobia.

Tahniah Kepada Datuk Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Malaysia yang akan turut berjuang untuk menghentikan Islamophobia ini, penulis berharap rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam menyokong usaha murni yang dilakukan beliau untuk mengembalikan 'imej Islam' di mata dunia. "Islam is the greatest Religion in the World".
Reblog this post [with Zemanta]

Wednesday, September 24, 2008

Harga Minyak Turun 10 Sen






Laporan Utusan Online:

Harga minyak turun 10 sen

24/09/2008 5:26pm

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan 92 dikurangkan sebanyak 10 sen iaitu daripada RM2.55 kepada RM2.45 seliter dan RM2.50 kepada RM2.40 seliter, berkuat kuasa mulai esok.

- Utusan{http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_13.htm}

Mungkin berita ini akan memberikan sedikit kegembiraan kepada rakyat setelah beberapa bulan terpaksa menanggung beban harga minyak yang terlalu tinggi yang secara tidak langsung memberi kesan kepada harga barangan pengguna yang lain baru-baru ini.

Namun, penulis pasti penurunan harga minyak 10 sen ini masih belum cukup untuk meringankan beban yang dialami oleh rakyat selepas pengumuman kenaikkan harga minyak yang mendadak beberapa bulan yang lalu.

Namun, kata orang "Lebih baik turun sedikit dari tidak turun langsung". Namun penulis berharap penurunan harga minyak ini tidak ada maksud tertentu dan biarlah penurunan ini dibuat secara ikhlas dan bukanya untuk menyelamatkan kedudukan seseorang ataupun untuk menarik perhatian pihak-pihak tertentu tambahan pula UMNO kini yang berada di ambang Pemilihan Agung UMNO.

Dalam masa yang sama, penulis berharap harga minyak akan terus diturunkan sehingga sama dengan harganya sebelum dinaikkan beberapa bulan lalu, mungkin ini jalan terbaik untuk meringankan beban rakyat yang semakin meruncing dewasa ini.

Penulis menyambut baik keputusan kerajaan menurunkan harga minyak ini kerana ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan yang semakin hari semakin tinggi yang terpaksa dihadapi rakyat tambahan pula di zaman ekonomi yang serba mencabar pada masa kini.

Dalam masa yang sama juga, penulis berharap kerajaan dapat membuat tambatan nilai ringgit kerana sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku, lebih baik kita sediakan payung sebelum hujan kerana kedudukan matawang ringgit sekarang penulis khuatir ia akan menarik minat spekulator matawang dan berkemungkinan sejarah 1997/1998 akan berulang lagi.



<
Reblog this post [with Zemanta]

Hormati Hari Raya







“Adalah menjadi tanggungjawab media kerajaan dan swasta yang dipegang oleh mereka yang muslim untuk menghormati hari raya dengan menyiarkan program-program yang bersesuaian dengan ajaran Islam. Amat malang jika tujuan Hari Raya untuk kita membesarkan Allah dan bergembira dengan disiplin dan peraturan yang ditentukan syarak, tiba-tiba siaran media kita menyiarkan apa yang bertentangan dengan itu.

Islam bukanlah jumud sehingga menghalang umatnya bergembira dan berseronok suka. Namun, bukanlah dengan cara yang jelas dilarang oleh Islam seperti gelagat-gelagat artis dalam media atau filem yang melampaui batasan yang wajar. Tidak wajar disiarkan lakonan atau tarian yang tidak dapat diterima oleh penilaian syarak.

Hari Raya adalah manifestasi daripada ibadah puasa di bulan Ramadan. Jangan media asyik mencemarinya saban tahun. Sepatutnya, jika kerajaan benar-benar ada kesungguhan, banyak yang dapat diselamatkan dalam kehidupan muda-mudi hari ini. Namun, apabila kita cakap lain sementara tindakan kita lain, maka rosaklah generasi kita”.{http://drmaza.com}

Jangan Salahgunakan Agama Untuk Kepentingan







Islam adalah matlamat yang dituju, bukan alat yang dipergunakan. Malangnya dalam masyarakat hari ini, banyak keadaan menunjukkan Islam itu tidak lebih daripada alat yang dipergunakan. Islam dipergunakan untuk keuntungan peribadi, perniagaan, politik dan lain-lain. Islam diperlakukan oleh sesetengah pihak bagai pelaris jualan.

Atau Islam dibuat bagaikan saluran media untuk mengiklan barang. Islam ditampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan kerana kecintaan kepada Islam, tetapi kerana itu boleh mempengaruhi orang ramai. Ini samalah dengan seorang tuan kedai yang menggantungkan ayat-ayat al-Quran di dinding kedainya untuk menarik perhatian pelanggan semata.

Padahal dia tidak pun berpegang kepada isi kandungan ayat yang digantung. Islam yang menuntut agar bersih dan jujur dalam perniagaan, tidak pun dilakukannya. Bahkan lebih teruk lagi, mungkin dia tidak bersolat, berpuasa dan perkara-perkara asas yang lain sebagai seorang muslim.

Namun dinding kedainya dipenuhi ayat al-Quran. Maka ayat al-Quran itu bukan pegangan hidupnya, tetapi alat yang dipergunakan untuk kepentingan dirinya. Bukan sedikit orang yang seperti tuan kedai itu dalam masyarakat kita. Mungkin bidang kepentingan dan caranya berbeza-beza, tetapi perbuatan mengeksploitasikan agama itu adalah sama.

Ustaz Produk

Saya amat tidak bersetuju apabila produk-produk yang melantik penceramah-penceramah agama sebagai duta produk mereka. Maka para penceramah ini akan berceramah ke sana sini menggunakan nas-nas agama itu dan ini untuk dikaitkan dengan produk yang dia didutakan.

Jadilah agama mainan ‘golongan peniaga’ dalam mempengaruhi orang awam. Hadis-hadis yang entah daripada mana asalnya, atau yang tidak sahih dikeluarkan untuk melariskan produk. Orang awam yang jahil akan terpengaruh.

Kadang-kala nas yang digunakan itu benar, tetapi dieksploitasikan. Umpamanya al-Quran memang menyebut tentang kelebihan madu seperti firman Allah:

(maksudnya)

“Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: “Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah peraturan Tuhanmu yang dimudahkannya kepadamu”. (dengan itu) akan keluarlah daripada perutnya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir. (Surah al-Nahl: ayat 68-69).

Ayat ini adalah umum, tidak dikaitkan dengan mana-mana produk tertentu. Maka janganlah digunakannya untuk dikhususkan kepada syarikat tertentu, padahal sudah ribuan tahun manusia meminum madu dan menikmati manfaatnya, sebelum syarikat-syarikat hari ini wujud.

Namun, apabila lidah penceramah agama berkempen untuk produk tertentu, maka jelaslah bahawa dia telah mengeksploitasikan agama untuk memajukan poketnya, bukan mendaulatkan agamanya. Jika dia ingin berkempen orang ramai meminum madu, silakan. Ayat tadi pun berkempen untuk itu. Tetapi hendaklah secara umum, bukan berkepentingan.

Daerah dakwah itu hendaklah menjadi daerah yang bersih dari kepentingan peribadi. Masalahnya, apabila masyarakat kita ada ramai penceramah yang bermodalkan agama, kurang pula yang menjadikan agama adalah matlamat dalam dakwah, maka beginilah jadinya.

Sebab itu barangkali, Nabi s.a.w membersih masjid dari sebarang perniagaan, seperti sabda baginda s.a.w:

“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaanmu.” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Lelong Pahala

Seperti biasa, apabila datang bulan puasa, atau ada kematian, akan ada pihak membuat duit dengan mendakwa mereka boleh menghasilkan pahala berbayar yang akan ekspot kepada si mati ke alam barzakh. Ini dengan cara membayar wang kepada mereka yang berzikir atau membaca al-Quran yang dipanggil ‘tahlil’ khas yang berbayar.

Maka ramailah ‘tekong’ yang melimpah luah wang pada bulan puasa ini hasil daripada tempahan pahala orang ramai yang hendak dihantar kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal. Pahala yang ditempah itu, kelihatannya lebih laris dari kueh dan baju raya.

Seperti mana orang kaya pada hari raya akan lebih mewah dengan kueh dan baju yang tempah, barangkali hari ini ada yang menganggap mereka juga akan begitu mewah di akhirat dengan pahala-pahala yang dibayar dan dihantar ke akhirat untuk digunakan di sana bagi mendapatkan syurga.

Maka, barangkali ramailah yang akan menganggap nanti bahawa mereka tidak perlu banyak amalan untuk masuk syurga, tetapi perlu banyak duit kerena pahala boleh dibeli di dunia dan dikirim ke sana. Sehingga yang terbaru pahala itu boleh ditempah secara online.

Malangnya, oleh kerana yang berniaga pahala ini terdiri daripada kalangan golongan agama, maka banyaklah pula nas-nas yang dieksploitasikan untuk memastikan perniagaan pahala itu berjalan lancar. Digunakan kenyataan ulama dahulu dan sekarang sehingga orang ramai yang jahil tidak dapat membezakan antara maksud sebenar para ulama itu dan ‘bisnes’ mereka pada hari ini.

Ya, memang terdapat perbezaan pendapat tentang sampai ataupun tidak bacaan pahala kepada si mati. Namun, pihak yang menyatakan sampai tidak pernah membenarkan ‘menjual pahala’ kepada si mati dengan bayaran seperti yang dibuat pada hari ini.

Di sini saya petik apa yang disebut dalam kitab akidah yang terkenal dan dianggap rujukan penting kesarjanaan Islam iaitu Syarh al-Tahawiyyah oleh Ibn Abi al-Izz al-Hanafi (meninggal 792H) yang merupakan salah seorang penyokong pendapat yang menyatakan bacaan al-Quran sampai kepada si mati, katanya:

“Ulama berbeza pendapat (mengenai sampai atau tidak kepada si mati) ibadah badaniyyah; seperti puasa, solat, bacaan al-Quran dan zikir.

Pendapat Abu Hanifah dan majoriti salaf ia sampai. Apa yang masyhur dalam Mazhab al-Syafi’i dan Malik tidak sampai” (m.s 458). Seterusnya beliau menyebut:

“Adapun mengupah orang untuk membaca al-Quran dan dihadiahkan kepada si mati, ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa pun di kalangan ulama salaf. Tidak pernah disuruh atau diberi kelonggaran oleh mana-mana sarjana agung dalam agama ini. Tanpa sebarang perbezaan di kalangan ulama; mengupah untuk pahala bacaan adalah tidak dibolehkan. Apa yang mereka berbeza mengenai keharusan upah adalah dalam bab mengajar al-Quran dan yang sepertinya; di mana manfaatnya sampai kepada orang lain. Pahala tidak akan sampai kepada si mati melainkan amalan itu ikhlas kerana Allah. Perbuatan upah itu adalah tidak ikhlas. Maka tiada pahala untuk dihadiahkan kepada si mati. Maka jangan ada yang menyebut bahawa dia menyewa orang untuk berpuasa atau bersolat lalu dihadiahkan pahalanya kepada si mati. Namun, jika dia memberi kepada sesiapa yang membaca al-Quran; mengajar dan belajar sebagai bantuan kepada ahli al-Quran, ini termasuk dalam sedekah, maka harus…jika dia berwasiat agar diberikan bahagian daripada hartanya kepada sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka wasiat itu batil kerana termasuk dalam jenis upah…jika dia menentukan wakaf untuk sesiapa yang membaca al-Quran di kuburnya, maka penentuan itu batil. Namun jika dia membaca al-Quran dan menghadiahkannya secara suka rela tanpa upah, maka ia sampai kepada si mati seperti mana sampainya pahala solat dan haji (m.s. 463-464, tahqiq: Ahmad Syakir, Riyadh: Wizarah al-Syuun al-Islamiyyah).

Inilah pendapat mereka yang bersetuju menyatakan ia sampai, bukan seperti yang diekspoitasikan. Jika nak cari yang sokong ambil upah memang ada, seperti mana ustaz yang kaki hisap rokok tentu menyatakan rokok makruh, walaupun seluruh fatwa antarabangsa; ulama dan para pakar kesihatan menyatakan ia haram.

Kerana Pulus

Lebih penting daripada itu, apa yang ditegaskan oleh insan yang tidak boleh dipertikaikan ucapannya, iaitu Rasulullah s.a.w:

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia”(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun, pulus punya pasal pahala pun orang sudah jual. Mungkin jika saudagar unta leher panjang Jamal Pak Tongkol dengar, dia akan kata: “jual pahala lebih untung daripada jual unta”.

Di samping di sana terdapat ramai sarjana, termasuk al-Imam al-Syafi’i sendiri yang menganggap bacaan al-Quran tidak sampai pahalanya kepada si mati. Tokoh tafsir al-Quran yang agung, al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika menafsirkan firman Allah s.w.t dalam Surah al-Najm, ayat 39 (maksudnya):

“Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya”,

beliau menyebut:

“Maksudnya, seperti mana seseorang tidak menanggung dosa orang lain, demikian dia tidak mendapat pahala melainkan apa yang diusahakannya sendiri.”Dari ayat yang mulia ini al-Imam al-Syafi’i dan sesiapa yang mengikutnya membuat kesimpulan bahawa pahala bacaan al-Quran tidak sampai kepada si mati kerana itu bukan amalan dan usaha mereka. Justeru itu, Rasulullah s.a.w tidak pernah menggalak, atau menyuruh atau menunjukkan umatnya kepada perkara tersebut samada secara nas yang jelas, atau isyarat.Tidak pernah diriwayatkan seorang pun dari kalangan sahabah r.ahum yang berbuat demikian. Jika itu sesuatu yang baik, tentu mereka telah pun mendahului kita melakukannya. Bab ibadah khusus hanya terbatas dalam lingkungan nas semata, tidak boleh diubah-ubah dengan berbagai kias dan pandangan. Adapun doa dan sedekah, maka itu disepakati sampai pahala keduanya kepada si mati kerana dinaskan oleh syarak”. (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/328, Beirut: Muassasah al-Rayyan).

Apa yang saya risaukan, perkara ini akan memberikan gambaran yang salah orang ramai termasuk bukan muslim kepada Islam. Mereka akan menganggap syurga itu boleh dijual beli berdasarkan kekayaan dan upah dari kroni-kroni yang masih hidup. Hilanglah kehebatan nilai perjuangan dan pengorbanan para pejuang Islam yang terkorban dan dikorbankan dalam memperolehi syurga, jika pahala ke syurga itu boleh dibayar atau ditempah.

Azan

Mesej saya adalah jangan ekspoitasikan Islam untuk keuntungan. Dalam banyak hal Islam itu menjadi kabur disebabkan oleh penganutnya sendiri. Kita memang marah jika ada orang Islam atau bukan Islam yang menentang laungan azan.

Azan adalah syiar kepada Islam dan masyarakatnya. Namun, bacaan-bacaan selain azan yang dipasang dengan kuat sehingga mengganggu penduduk sekitar, tidak pernah disuruh oleh Islam. Bahkan jika ia dilaungkan seperti azan, kuat kedengaran di menara masjid, maka itu menyanggahi Islam. Ini termasuk bacaan al-Quran, selawat dan apa-apa zikir sekali pun.

Bacaan itu baik, tetapi bukan sampai mengeliru dan mengganggu orang lain. Saya pernah mendapat aduan seorang ibu yang tinggal berdekatan masjid bahawa bayinya yang kecil sering tidak dapat tidur disebabkan masjid berkenaan memasang bacaan-bacaan yang panjang dan berbagai sebelum waktu solat. Saya beritahu dia, itu bukan ajaran Islam.

Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah mengkritik hal ini, katanya:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan di antaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Di kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Lebih buruk jika yang dikuatkan itu ceramah-ceramah yang bersifat ‘permusuhan’ lalu dipaksa orang tidak mahu hadir mendengar dari tempikan pembesar suara.

Sebab itu bagi saya, jika orang bukan Islam membantah azan, itu satu kebiadapan yang patut diambil tindakan. Namun, jika mereka membantah perkara-perkara lain yang disalahgunakan atas nama masjid dan Islam, kita patut semak terlebih dahulu sebelum bertindak. Jangan gunakan isu agama dalam perkara yang tidak benar.

Begitu juga parti-parti politik, jangan jadikan agama sebagai ‘penghalal’ kepada tindakan. Ramai orang politik yang bertindak terlebih dahulu, lalu cari dalil agama untuk menjustifikasikannya. Bukan cari dalil agama dulu, baru bertindak.

Maka agama dalam keadaan seperti ini sering menjadi mangsa. Bak kata Kata Dr. Salah al-Khalidi:

“Sesungguhnya sebahagian manusia telah tersalah dalam hubungan mereka dengan al-Quran. Mereka memasuki alam al-Quran (menghayati al-Quran) yang luas dengan cara yang tidak betul… ada pula yang mengambil al-Quran dengan niat serta latarbelakang tertentu, juga tujuan yang hendak diperolehinya maka dia menyelewengkan jalannya, memutar belitkannya, memaksa-maksa dalil dan nas serta memayah-mayahkan ulasan untuk dijadikan alasan bagi dirinya..” (Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Mafatih li al-Ta`amul ma`a al-Quran, m.s 90, Jordan: Dar al-Manar).

Bebaskan diri kita dari menyalahgunakan Islam!

Tuesday, September 23, 2008

Derita Seorang Remaja




{Puisi ini dinukilkan dan dedikasikan kepada Epul seorang remaja yang sering dihimpit derita di dalam hidupnya)

Alam Remaja Sungguh Indah
Penuh dengan keseronokkan
Tapi dikisahkan Seorang Remaja yang gundah
Di saat remaja seusia bergembira, dia kesedihan

Hidupnya sering dihimpit derita
Di saat rakan seusia ketawa riang
Dia tak mampu ukirkan senyuman di wajahnya
Deritanya jelas aku terasa

Di sana rakan seusia berlumba menimba ilmu
Di sini dia berkorban semata-mata mencari sesuap nasi
Di sana rakan seusia tertidur lena di dalam kelambu
Di sini dia terpaksa bersengkang mata, agar hidupnya terus dapat dihadapi

Di waktu rakan seusia bergembira menyambut kedatangan syawal yang mulia
Dia masih hidup bermuram duka dihimpit sengsara
Mengapa ini semua harus berlaku padanya
Deritanya sungguh dasyat umpama tsunami melanda

Aku faham apa yang dialaminya
Berat mata memandang berat lagi mahu memikulnya
Aku cuba membantunya menghadapinya
Apa yang aku mampu hanyalah berdoa kepada Yang Maha Esa

Aku juga berdoa untuk keselamatanya
Aku sentiasa memohon restu Tuhan Seru Sekian Alam
Aku bertekad aku akan berjuang membantunya
Walaupun aku terpaksa mengharungi kepekatan malam yang kelam.

Aku bersumpah walau apa pun jua terjadi
Aku tidak akan berhenti berbakti padanya
Kalaupun aku terpaksa mengorbankan diri
Aku tetap terus berbakti padanya

nukilan:
yiemega
Kg. Merbau, Kota Bharu, Kelantan
23 September 2008
23 Ramadhan 1429H

http://karyamelayu.blogmas.com
Reblog this post [with Zemanta]

Thursday, September 18, 2008

Kemelesetan Ekonomi Dunia







Hari ini penulis memilih tajuk yang ada kena mengena dengan ekonomi sesuai dengan Kemelesetan Ekonomi dunia yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada negara kita iaitu Malaysia. Kejatuhan 'Gergasi Insurans' Amerika sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi dunia tidak terkecuali dengan Malaysia yang turut mendapat tempias daripadanya. Hari ini diberitakan, bahawa Bursa Malaysia jatuh ke bawah 1000 mata dan ianya adalah kejatuhan paling buruk di dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Krisis ekonomi dunia yang turut sama dirasai di Malaysia kini menjadi cabaran yang begitu hebat bagi orang yang ditugaskan untuk membuat perancangan ekonomi malaysia terutamanya Menteri Kewangan. Suasana ekonomi dunia yang lembah ditambah pula isu-isu politik semasa yang semakin memburukkan keadaan.

Kedudukan Kerajaan Barisan Nasional yang didirikan tanpa kuasa majoriti 2/3 ternyata memburukkan lagi keadaan. Tambahan pula ada pihak yang mahu menjadikan kekurangan majoriti 2/3 Barisan Nasional sebagai 'batu loncatan' untuk mereka berkuasa. Perkara seperti ini juga secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kepada ekonomi negara dan ianya turut memberikan kesan kepada rakyat. Memang betul, kekurangan majoriti 2/3 ia akan menjadikan sesebuah kerajaan sebagai kerajaan yang lemah dan lumpuh serta boleh dijatuhkan bila-bila masa sahaja.

Namun, ada banyak juga negara yang menubuhkan Kerajaan dengan majoriti kurang daripada 2/3 tetapi tidak mengalami situasi yang sama dengan Malaysia kerana mereka lebih selesa untuk menjatuhkan Kerajaan Memerintah secara Pilihan Raya daripada memujuk orang melompat dari satu pihak kepada satu pihak.

Penulis pun hairan dengan orang kita ini, kenapa negara lain sanggup menunggu Pilihan Raya akan datang untuk berkuasa walaupun mereka sememangnya berada di ambang kuasa, tetapi tidak di Malaysia mungkin juga di Malaysia ini ramai menganggap kejayaan individu menjatuhkan kerajaan demi kepentingan peribadi merupakan kejayaan rakyat walhal secara tidak langsung mereka sebenarnya telah dipergunakan untuk mencapai cita-cita individu.

Penulis berpendapat, perkara seperti ini hendaklah dihentikan kerana jikalau ekonomi negara lumpuh secara tidak langsung ia memberi kesan kepada rakyat sedangkan rakyat mengharapkan sesuatu yang baik daripada wakil-wakil mereka agar mereka dapat hidup selesa dan bebas daripada bebanan.

Jika tindakan seperti ini diteruskan, penulis khuatir besar kemungkinan negara akan mengalami krisis ekonomi dan kegawatan ekonomi yang paling teruk di dalam sejarah dan pada waktu itu harga petrol mungkin akan mencecah RM6 satu liter, banyak syarikat bankrap, banyak usahawan kita akan diistihar muflis dan bermacam-macam lagi perkara yang akan mendapatkan kesanya ialah rakyat. Hentikanlah demi rakyat.

Pertukaran Portfolio di antara PM dengan TPM

Najib Tun Razak, Deputy Prime Minister of Mala...Image via Wikipedia
Hari ini kita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi yang penulis lebih suka gelarkanya sebagai Presiden AAB telah menukar portfolionya sebagai Menteri Kewangan kepada Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan jawatan Menteri Pertahanan yang disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kini mula tanggungjawab itu digalas oleh Presiden AAB.

Dalam keadaan politik di Malaysia pada masa ini yang boleh dianggap tidak stabil dicampur pula dengan keadaan kecelaruan Ekonomi dunia jawatan Menteri Kewangan diserahkan kepada Najib.

Pada pandangan penulis, ini merupakan satu helah terbaru untuk menyekat kemaraan Najib dan mengagalkan atau dengan kata lain sekiranya "Pembaharuan Ekonomi' gagal dilaksanakan oleh Najib makanya dalam tidak sedar ia telah membawa kepada 'kegagalan misi Najib untuk menjadi Perdana Menteri'.

Penulis percaya dalam keadaan ekonomi negara yang begitu tenat ketika ini, mungkin ia memberi kesukaran kepada Najib untuk memperbetulkan keadaan tambahan pula Pengalaman Najib di dalam bidang ekonomi tidak begitu meluas lagi. Mungkin ini adalah cara yang paling sesuai Presiden AAB 'mengaibkan' Najib.

Kenapa pula Presiden AAB memegang Kementerian Pertahanan?, besar kemungkinan Presiden AAB tidak mahu Najib menggunakan 'Military Intelligent' untuk mengulingkanya sebelum 2010. Mungkin juga Presiden AAB, ada perancanganya sendiri bagi melindungi kuasanya dengan menggunakan 'kuasa tentera'. Mungkin juga dia pakai strategi Pervez Musharaf cuma bezanya dia hanya Menteri Pertahanan, Pervez Musharaz pula Pemimpin Tertinggi Angkatan Tentera tapi penulis tetap percaya kesanya hampir sama.

Najib selaku Menteri Kewangan perlu menunjukkan 'kemahiranya' di dalam mengendalikan ekonomi negara yang kedudukanya yang agak tenat pada masa ini. Ingat jawatan ini boleh dikatakan jawatan berhantu, kerana jawatan inilah yang membuatkan Anwar Ibrahim lupa diri dahulu sehinggalah beliau kehilangan kuasa. Najib perlu berhati-hati.

Pada masa ini, penulis lebih suka sekiranya Tengku Razaleigh menjadi Menteri Kewangan kerana beliau memang ada banyak pengalaman di dalam ekonomi negara tambahan pula, ekonomi memang di dalam bidang urusanya jadi tak salah sekiranya Tengku Razaleigh diberi peluang menjadi Menteri Kewangan dan mungkin jugalah Perdana Menteri 'bagi meredakan keadaan terlebih dahulu'. Kerana ini satu-satunya jalan selamat buat Najib, jadi fikir-fikirkanlah.
Reblog this post [with Zemanta]

Tuesday, September 16, 2008

Ikhlaskah Perletakkan Jawatan Zaid Ibrahim?






Ketika ini negara kita 'heboh' dan 'hangat' memperkatakan tindakan Bekas Menteri di Jabatan Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang yang meletakkan jawatan kerana tidak puas hati dengan undang-undang ISA atau penulis lebih suka gunakan istilah 'Ikut Suka Abdullah'. Hari ini sekali lagi dia bertegas mahu meletakkan jawatan kerana beliau merasa gagal untuk membuat 'Reformation Of Judiciary" dan memansuhkan ISA.

Tindakan Zaid Ibrahim memang sekiranya ia sekali pandang membuatkan ia menjadi 'Hero Masyarakat' tetapi perlu ingat 'orang politik memang penuh dengan tipu helah' untuk berjaya di arena ini mereka sanggup buat apa sahaja. Tambahan pula beliau yang berpengalaman bekerja sebagai seorang Peguam yang pernah menyaman Kerajaan Kelantan dan Terengganu kerana melaksanakan 'undang-undang Islam' benar-benar membuatkan beliau bijak berpolitik. Masih ingat lagi, kata-kata orang tua penulis yang berkata "Peguam boleh diibaratkan satu kakinya sudah jejak ke neraka"

Masih ingat tak lagi mengenai isu 'Forum Memeluk Islam' yang menimbulkan 'kontroversi' tidak berapa dahulu sehinggakan Ahli Parlimen PKR Zulkifli Nordin diberi surat tunjuk sebab oleh PKR kerana membantah 'forum tersebut' pada tatkala itulah Zaid Ibrahim diam membisu seribu bahasa bahkan tidak membuat kenyataan sekalipun mungkin juga kerana yang buat forum tersebut "Majlis Peguam" dan tambahan pula 'Majlis Peguam' 'setuju' dengan perlantikanya sebagai di Menteri di Jabatan Perdana Menteri menjaga 'hal ehwal undang-undang' maka dengan ini 'Majlis Peguam' seolah 'kebal' melakukan apa sahaja termasuk mengguris perasaan umat Islam. Ini secara tidak langsung Zaid Ibrahim telah memperlekehkan Islam dan 'undang-undang sekular' lebih penting daripada Islam.

KEGAGALAN MEREBUT JAWATAN KETUA UMNO BAHAGIAN KB

Sepertimana yang kita maklum Zaid Ibrahim 'gagal' untuk memenangi kerusi Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu selepas beliau 'gagal mendapat cukup pencalonan. Kegagalan beliau menyebabkan timbulnya dakwaan 'taktik kotor' digunakan untuk mengagalkan percubaanya untuk menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu.

Pada pandangan penulis, beliau kalah bukan kerana 'taktik kotor' tetapi kerana dirinya sendiri. Puncanya ialah beberapa kenyataan beliau sebelum ini yang dilihat seolah-olah membela Presiden AAB membuatkan 'ahli UMNO akar umbi' yang sememangnya 'muak dan loya dengan Presiden AAB melatah'.

Bak kata orang tua-tua 'Kalau tak tahu menari, jangan disalahkan tanah tinggi ke rendah' . Penulis lebih melihat 'kegagalan' beliau(Zaid Ibrahim) memegang jawatan tersebut kerana beliau tersilap di dalam membuat percaturan jadi akibatnya beliau 'kehilangan jawatan tersebut.

Mengenai perletakkan jawatan beliau, penulis berpandangan ia hanyalah 'kosmetik' ataupun satu cara untuk menarik perhatian ramai agar bersimpati denganya yang 'memecat jawatannya sendiri' walaupun ia tidak dipecat oleh Presiden AAB. Mungkin juga, tindakan beliau sebagai langkah persediaan untuk 'melompat' sekiranya Kerajaan Katak dapat ditubuhkan oleh Maharaja Katak. Kesimpulanya, jangan mudah tertipu dengan mainan 'orang politik' tambahan pula peguam yang sentiasa menipu untuk 'memenangi kes' dan membela orang yang salah.
Reblog this post [with Zemanta]

Sunday, September 14, 2008

Apabila iklim soleh tidak dibina…






Dipetik dari:
http://drmaza.com

ANTARA perkara yang ajaran Islam berusaha tegakkan adalah iklim atau suasana yang solehah. Ia disebut dalam bahasa Arab sebagai al-biah al-solehah. Kewujudan persekitaran yang soleh atau baik dan takwa akan mempengaruhi pembentukan jiwa dan akhlak penghuni yang berada dalamnya.

Insan apabila hidup dalam sesuatu suasana, secara kebiasaannya suasana itu akan mempengaruhinya. Jika seseorang yang kurang bijak hidup di kalangan mereka yang bijak, maka sedikit sebanyak bicara dan pendapat yang bijak dan berkualiti itu akan tempias kepadanya.

Demikian jika seseorang yang kurang baik, tetapi hidup dan bergaul dengan mereka yang baik-baik, kemungkinan besar budaya dan akhlak yang baik akan mempengaruhinya.

Perkara yang sebaliknya juga mungkin berlaku. Insan yang tidak jahat, tetapi jika terbiasa dengan mereka yang melakukan aktiviti atau akhlak yang jahat, maka tidak mustahil pengaruh-pengaruh jahat itu akan menyerap ke dalam jiwanya nanti.

Membentuk peribadi seorang insan – di satu sudut – memerlukan pengembelingan seluruh masyarakat, bukan sekadar dua ibubapa sahaja. Sebab kegagalan membentuk seorang anak kecil agar menjadi soleh kadang-kala dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Jika ibu bapa merupakan insan soleh dan mengiklimkan rumah tangga dengan unsur-unsur yang baik, tetapi apabila anak tersebut ke sekolah, bergaul dengan kawan, berjalan di kampung atau bandar, melihat televisyen dan majalah dan seumpamanya yang kesemuanya menyumbang ke unsur-unsur anti-soleh atau negatif, maka kemungkinan unsur pengajaran yang baik itu akan terhakis.

Jika tidak terhakis pun, kekeliruan dan pelbagai persoalan dari jiwa yang mentah itu akan muncul. Begitu insan di setiap peringkat terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi saw menyebut dalam hadis:

Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya (Riwayat Ahmad, dinilai hasan oleh al-Albani).

Justeru betapa pentingnya membentuk atau mewujudkan suasana yang soleh ini, maka kita tidak hairanlah jika Allah menugaskan antara tanggungjawab para pemerintah agar memelihara iklim dan persekitaran agar dihiasi dengan perkara-perkara yang makruf dan dipelihara dari kemunkaran yang nyata lagi mencemarkan masyarakat.

Firman Allah: (maksudnya):

Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Hajj: 41).

Inilah tanggungjawab penting yang dilupai oleh ramai mereka yang mempunyai kekuasaan politik. Allah menguji mereka dengan kuasa supaya mereka menjalankan amanah-Nya agar menegakkan suasana yang baik dan bersih yang diwarnai perkara-perkara makruf dan terpelihara dari pencemaran nilai-nilai negatif.

Memang semua jenis pemerintahan akan melaksanakan urusan menegakkan dasar dan memelihara rakyatnya dari unsur-unsur yang mereka tidak ingini. Dasar-dasar yang ditegakkan itu, mungkin untuk kepentingan tertentu termasuk politik para pemerintah itu sendiri. Demikianlah larangan atau pencegahan yang dikenakan kepada rakyat. Ia mungkin untuk kebaikan umum, juga tidak mustahil barangkali untuk memelihara kepentingan pihak-pihak tertentu semata.

Namun Allah Maha Agung memerintah sesiapa sahaja di kalangan mereka yang beriman apabila diberikan amanah kekuasaan politik agar menjadi suruhan dan larangan itu berpaksikan kepada peraturan Allah iaitu Islam. Apa yang Allah galakkan maka pemerintah akan galakkan, dan apa yang Allah haramkan maka pemerintah pun haramkan.

Peraturan Islam itu adalah peraturan yang bebas dari kepentingan mana-mana pihak. Ia semata-mata keadilan, kesejahteraan dan keharmonian. Mana-mana perkara yang dikaitkan dengan Islam tetapi terkeluar dari prinsip keadilan dan keharmonian yang sebenar, maka itu bukan Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw.

Sebab itu para pemerintah yang akan menegakkan persekitaran yang murni ini, seperti yang disebut dalam ayat di atas merupakan mereka yang menunaikan solat dan mengeluarkan zakat. Solat merupakan perlambangan perdampingan jiwa pemerintah dengan Allah. Sementara zakat merupakan pembebasan harta pemerintah dari kemurkaan Allah. Mereka yang bercirikan seperti ini sudah pasti akan mampu menegakkan iklim murni yang dirindui semua.

Saya cuba membicarakan tajuk ini memandang meningkatnya kerunsingan kita semua terhadap keadaan persekitaran masyarakat yang dilanda pelbagai budaya dan akhlak yang negatif. Inilah hasilnya apabila tanggungjawab Amar Ma‘ruf dan Nahy Mungkar tidak menguasai masyarakat. Atau jika adapun suruhan kepada kebaikan dan larangan dari kejahatan hanya bersifat terpilih bukan menyeluruh.

Bahkan kadangkala suruhan kepada makruf dan pencegahan kepada mungkar berjalan atas kepentingan tertentu. Kadar kempen kepada kesedaran seperti solat, tidak lebih hebat daripada kadar kempen kepada kelalaian dan kealpaan hidup. Hal ini boleh kita lihat saban hari di media-media kita. Sebabnya, sehinggakan media kerajaan, soal komersial dan keuntungan kadang-kala lebih dititik beratkan dibandingkan soal pembangunan insan. Tajuk-tajuk forum agama juga banyak yang bersifat komersial.

Perkara makruf itu begitu banyak jika hendak ditegakkan. Ini termasuk menyuruh kepada solat, puasa, zakat, haji, berbuat baik kepada ibu bapa, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya. Juga menegakkan ilmu pengetahuan, keadilan, kebajikan, kedamaian merupakan tanggungjawab Amar Makruf.

Namun biasanya, penegakan yang makruf tidaklah begitu susah sesusah usaha mencegah perkara mungkar. Maka banyak pihak seperti penceramah-penceramah TV yang sanggup mengajak kepada yang baik tetapi takut untuk mencegah yang mungkar.

Maka sebab itu, walaupun ceramah dan forum perdana banyak, masyarakat kita tetap dihujani ujian kerosakan dan kemungkaran kerana ramai yang hanya berani menyuruh kepada kebaikan tetapi tidak berani melarang kemungkaran. Bahkan suruhan yang makruf itupun hanya dalam perkara terpilih atau lebih tertumpu kepada soal-soal kelebihan amal. Tiada keberanian menyentuh perkara-perkara pokok seperti prinsip ilmu, keadilan dan seumpamanya.

Lihatlah media penting yang Allah sediakan kepada umat Islam iaitu khutbah Jumaat. Hampir keseluruhan kaum lelaki umat Islam akan mendengar khutbah Jumaat saban minggu. Tetapi malangnya, isinya hambar. Tiada kekuatan dalam menyuruh kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar. Pihak yang menulis khutbah itu kadang-kala merasakan tanggungjawabnya di hadapan manusia lebih utama daripada tanggungjawabnya di hadapan Allah.

Entah berapa banyak perkara mungkar yang besar-besar perlu diingatkan kepada masyarakat kita, tiba-tiba khutbah Jumaat sering menyentuh perkara yang tidak penting. Ia tidak membangunkan semangat menegakkan Islam, sebaliknya bagaikan irama menidurkan pendengar sementara menunggu solat didirikan. Hilanglah fungsi amar makruf dan nahy mungkar di celahan celoteh yang menjemput ‘lelap mata’ hadir segera.

Maka, khutbah Jumaat saban minggu gagal berfungsi menghadapi mungkar yang berkembang saban waktu. Hilanglah fungsi utama khutbah yang difardukan disebabkan tangan-tangan yang takutkan manusia lebih daripada Tuhan.

Bani Israil dilaknat kerana meninggalkan usaha mencegah kemungkaran. Firman Allah (maksudnya):

Telah dilaknat mereka yang kafir daripada Bani Israil melalui lidah Nabi Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).

Banyak perkara negatif telah menjalar ke dalam berbagai-bagai aspek kehidupan masyarakat kita. Daripada isu akidah seperti menghina Islam sehingga kepada gejala sosial yang melampaui batas. Orang ramai tidak lagi peka apabila melihat sesuatu yang ternyata amat mungkar berlaku di hadapan matanya sedangkan mereka mampu mengubahnya.

Akhirnya, masyarakat hidup tanpa mempedulikan arahan Allah. Kemunkaran yang pada mulanya merupakan penyakit kelompok, akhirnya menjelma menjadi barah yang mengancam masyarakat keseluruhannya. Akhirnya, keselamatan, keadilan, minda, bahkan identiti umat Islam itu sendiri terancam. Ancaman-ancaman ini pada mulanya kelihatan kecil dan kita tidak begitu mempedulikannya. Tapi akhirnya ia menjadi api yang menyala dan sukar untuk dipadamkan lagi.

Firman Allah: (maksudnya):

Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (kemudaratan) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab hukumanNya (Surah al-Anfal, ayat 25). Dalam menafsirkan ayat ini Ibn ‘Abbas berkata: Allah memerintahkan orang mukmin agar tidak akur akan kemungkaran yang berlaku di kalangan mereka, nanti Allah akan mengenakan azab ke atas mereka keseluruhannya.( Al-Tabari, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahdhib, 4/59, Damsyik: Dar al-Qalam).

Sabda Nabi saw:

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia ubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim).

Maka sesiapa yang melihat mungkar tetapi dia mencegahnya sedangkan dia mampu, maka dia sebenarnya berdosa. Ramai kita yang tidak perasaan bahawa dia berdosa kerana membiarkan kemungkaran yang dia sebenarnya amat mampu mencegahnya.

Kata al-Nawawi (meninggal 676H):

“Sesungguhnya menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munfkar adalah fardu kifayah. Jika dilaksanakan oleh sebahagian manusia, gugur kesalahan dari yang lain. Jika semua meninggalkannya, maka berdosalah sesiapa yang mampu melakukannya tanpa sebarang keuzuran dan ketakutan. Kemudian, ia mungkin menjadi fardu ain ke atas seseorang. Ini seperti di tempat yang tiada siapa yang tahu melainkan dia, atau tiada siapa yang mampu mencegahnya melainkan dia. Seperti seseorang yang melihat isteri atau anaknya atau hambanya melakukan mungkar atau mengurangi makruf” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 1/217218, Beirut: Dar al-Khair).

Jika kita berlumba-lumba memelihara persekitaran kita, mungkin pencemaran kesejahteraan yang sedang kita alami akan dapat diselamatkan. Dengan syarat kita ikhlas niat hanya kerana Allah, bukan sekadar meredakan masyarakat. Jika tidak kelucuan akan berlaku seperti mana kita yang memberi lesen kepada pusat-pusat hiburan terlampau kemudian kita pula menghantar pegawai pencegah untuk menahan sesiapa yang terlibat. Demikian kita lihat ada tangan yang merasmikan masjid, tangan yang sama juga meluluskan pusat-pusat yang mencemarkan kemurnian iklim. Tiada kejujuran yang penuh dalam hal ini.

Di samping, ramai pula di kalangan masyarakat yang merasakan tidak menjadi kesalahan duduk dalam majlis yang penuh dengan kemungkaran tanpa dia berusaha mencegahnya. Dia dapat selesa dalam iklim yang sedemikian. Lebih parah lagi jika ada yang mampu duduk semeja tersenyum simpul ketika rakan-rakan yang lain menghina Islam atau melakukan maksiat secara terang seperti meminum arak. Dia tidak membela dan mempertahankan ajaran Allah dan Rasul-Nya, atau mencegah, sebaliknya terus berkongsi kegembiraan bersama.

Firman Allah:

(maksudnya) Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). (Surah al-An‘am, ayat 68).

Firman Allah juga: (maksudnya):

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam al-Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diejek-ejek, maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. (Surah al-Nisa, ayat 140).

Kata al-Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini:

“Ayat ini menjadi dalil wajibnya menjauhi ahli maksiat apabila jelas kemungkaran mereka. Ini kerana sesiapa yang tidak menjauhi mereka bererti redha dengan perbuatan mereka”. Katanya lagi: “Firman Allah: (kalau demikian, kamu sama seperti mereka) sesiapa yang duduk dalam majlis maksiat dan tidak membantahi mereka maka dia menanggung dosa yang sama seperti mereka. Maka hendaklah dia membantah mereka sekiranya mereka bercakap dan melakukan maksiat. Sekiranya dia tidak mampu untuk membantahi mereka maka hendaklah dia meninggalkan mereka supaya tidak termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ini. (Al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/418, Beirut: Dar al-Fikr).

Marilah kita bina iklim takwa..


Reblog this post [with Zemanta]

Saturday, September 13, 2008

Sudah Terlewat Buat Najib







Saranan Tan Sri Muhyidin Yasin agar "Peralihan Kuasa" disegerakan bagi membolehkan jawatan yang disandang oleh Presiden AAB sekarang dan diikuti pula oleh kenyataan tuan punya badan sendiri iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyerahkan kepada ahli UMNO akar umbi untuk membuat keputusan berhubung apa yang dikatakan "Peralihan Kuasa".

Mungkin pada pandangan orang inilah masa terbaik buat Najib, namun bagi penulis segala-galanya sudah terlambat buat Najib. Tambahan pula tindakan beliau yang membuat kenyataan maaf secara terbuka berhubung isu kenyataan bekas Ketua UMNO bahagian Bukit Bendera yang secara tidak langsungnya menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan Melayu.

Tindakan permohonan maaf secara terbuka itu telah sedikit sebanyak menandakan yang beliau sudah mula mewarisi sifat kepimpinan Presiden AAB yang pada masa ini lebih mengikut telunjuk kaum lain berbanding bangsa sendiri.

Di samping itu, mungkin juga permasalahan yang menimpa sebuah universiti yang dimiliki secara tidak langsung oleh UMNO melalui YAYASAN PINTAR, yang dimana yayasan itu dipengerusi oleh Najib sendiri sedikit sebanyak memberi tempias mengenai kedudukanya.

Walaupun mungkin orang menganggap masalah yang timbul di universiti tersebut sebagai masalah remeh, namun ia bukanlah masalah remeh kerana ia membabitkan bukan sahaja kredibiliti UMNO malah kredibiliti Najib sendiri.

Penulis memohon maaf sekiranya artikel ini menyinggung mana-mana pihak tetapi penulis berpendapat ia perlu diberi perhatian dan di ambil pusing oleh mana-mana pihak terutamanya yang berada di dalam UMNO. Penulis tidak bermaksud untuk menjatuhkan sesiapa tetapi penulis merasa bertanggungjawab untuk memberi pendapat penulis dengan seikhlas mungkin.

Tabung Pembelaan Datuk Ahmad Ismail







Cadangan Blogger ManSaari:

Seorang wira sejati tetap menampilkan watak wira biarpun dihukum. Digantung tiga tahun bukan membawa maksud dihukum mati. Pendiriannya tetap teguh. Suaranya tetap lantang. Melayunya tetap tulen. Dia tetap waris seorang wira jagat. Tidak tergugat pendirian. Anak jantan jati. Biarlah dihukum tetapi tetap dijulang sebagai salah seorang wirawan Melayu 2008.

Jika Datuk Ahmad Ismail didakwa atas akta hasutan maka kita berdoa agar dia akan dibela oleh anak Melayu. Dan seluruh umat Melayu yang sedar kepentingan maruah Melayu patut kutip RM1.00 untuk 'tabung bela' Datuk Ahmad Ismail. Bukan dia tidak mampu dan tidak mempunyai wang untuk membela dirinya, dia memang mampu tetapi RM 1.00 untuk sokong seorang wira Melayu, setidak-tidaknya berupaya mempamerkan kebangkitan orang Melayu yang 'jantan-jantan'. "Umno Bukit Bendera" buka tabung. Cari kaedah mudah untuk orang ramai menabung. Hanya RM1.00 daripada seorang umat melayu untuk seorang umat melayu yang menjadi wira ketika kita dihantui kekoroan. Pasti boleh. Melayu Boleh.{http://mansaari.blogspot.com/2008/09/wira-jagat.html}

KOMEN BESUTLONIH.COM

Cadangan Penubuhan Tabung Pembelaan Datuk Ahmad Ismail sekiranya beliau dikenakan tindakan di bawah akta hasutan yang dicadangkan rakan blogger penulis iaitu Saudara ManSaari
adalah satu cadangan yang baik dan bangsa Melayu khasnya yang berada di dalam UMNO hendaklah sama membantu bangsa kita yang dipijak oleh bangsa kita sendiri ini.

Betul, mungkin Datuk Ahmad Ismail mempunyai kewangan yang cukup untuk menghadapi tuduhan itu tetapi sebagai bangsa Melayu kita hendaklah membantu bangsa kita yang diboleh dianggap 'Wira Jagat" ini. Tunjukan semangat kemalayuan yang utuh bagi membela bangsa kita sendiri.

Sekiranya Raja Petra Kamaruddin penulis blog Malaysia Today dapat dibela dan dibantu oleh bangsa kita kenapa tidak Datuk Ahmad Ismail seorang wira melayu yang berani menegakkan kebenaran yang dizalimi oleh bangsa sendiri.

Sudah sampai masanya, Melayu membela bangsanya sendiri, kita sudah tidak boleh berharap kepada ketua kita yang tidak boleh berbuat apa-apa selain mengikut telunjuk kaum lain sepertimana Yahudi yang mencorakkan politik di Amerika.

Mungkin pada hari ini, giliran Datuk Ahmad Ismail dizalimi, mungkin pada masa-masa yanga akan datang giliran kita pula akan dizalimi oleh bangsa sendiri. Marilah kita sama-sama hantarkan bangsa yang memijak bangsa kita sendiri ke neraka.

Friday, September 12, 2008

Pengguna Kecewa Dengan Perkhidmatan Stesen TV Satelit Berbayar







Seorang pembaca BesutLonih.com telah menghantar satu email kepada kami. Email tersebut mengandungi rungutan dan rasa tidak puas hati beliau berkenaan dengan perkhidmatan yang disediakan oleh sebuah Stesen TV satelit berbayar di negara ini.

Beliau melahirkan rasa kecewanya dengan perkhidmatan tv satelit berbayar yang disediakan oleh syarikat itu. Beliau berkata, sebagai pelanggan dia betul kecewa dengan syarikat itu dengan memberi contoh, beliau yang melanggan pakej filem (Movie Package) kos langgananya hampir RM100 sebulan tetapi apa yang beliau dapat hanyalah filem yang sama ditayang dan diulang tayang setiap bulan.

Beliau hanya mahu dikenali dengan nama, Kamil betul-betul kecewa dengan tindakan stesen tv tersebut. Katanya tidak berbaloi jika beliau membayar untuk melihat cerita yang sama setiap bulan, dia merasa seolah dirinya telah ditipu oleh syarikat tersebut bahkan beliau juga mendakwa bukan dia seorang sahaja yang merasa tertipu tetapi ramai pelanggan stesen tv tersebut merasa ditipu oleh syarikat tersebut.

Beliau juga menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat tersebut. Beliau juga berharap syarikat tersebut tidak dilindungi oleh 'kuasa veto' yang diberikan kerajaan terhadapnya. Katanya lagi sebagai pengguna mereka berhak mendapat hak mereka.

Bayangkanlah, ramai pengguna di mana pengguna itu adalah rakyat Malaysia dan sebagai Kerajaan hendaklah bertanggungjawab menyelesaikan permasalahan ini tambahan pula ia melibatkan permasalahan rakyat, sampai bila rakyat mahu terus dizalimi sebegini rupa.

Thursday, September 11, 2008

Jatuh Bangun Semula







"Jatuh Bangun Semula" dipilih menjadi tajuk artikel penulis pada kali ini, ungkapan ini walaupun ianya sekadar tiga perkataan namun perananya tetap besar terhadap seorang yang melalui liku-liku untuk menggapai kejayaan di puncak kegemilangan. Semangat ini sebenarnya telah ditunjukkan oleh Allah tuhan seru sekian alam terhadap umatnya melalui semangat kanak-kanak yang baru belajar bertatih. Sepertimana kita maklum, "setiap benda yang berlaku di atas muka bumi ini sudah tentu ada hikmahnya" kerana Allah tidak menjadikan sesuatu perkara dengan sia-sia. Cuba kita lihat betapa semangatnya 'kanak-kanak yang baru belajar bertatih untuk mencapai kejayaan iaitu 'boleh berjalan' walaupun ia terjatuh tetapi ia bangun semula untuk meneruskan kejayaanya sebagai kanak-kanak yang boleh berjalan tanpa bantuan 'alat bantu berjalan'.

Begitulah semangat ditunjukkan oleh seorang kanak-kanak yang belajar bertatih. Kita sebagai dewasa hendaklah mencotohi kanak-kanak tersebut. Namun, artikel penulis kali ini bukanlah bermaksud untuk bercerita mengenai 'usaha kanak-kanak bertatih' tetapi lebih kepada senario politik pada masakini sesuai dengan desas-desus Pakatan Dua Negarawan ulung dan seorang pemimpin iaitu Tun Dr. Mahathir, Tengku Razaleigh fan Tan Sri Muhyidin Yasin.

Sebagai ahli politik yang pernah berkhidmat di dalam beberapa era pemerintahan, sudah tentu Tengku Razaleigh a.k.a Ku Li telah banyak belajar tentang 'asam garam, pasang surut, timbul tenggelam politik'. Sebagai orang yang pernah 'jatuh' satu ketika dulu menjadikan beliau 'dewasa' dengan sepak terajang politik. Boleh dikatakan dia telah bangun semula dari jatuh.

Sebagai orang yang begitu arif dengan ekonomi, ia mencerahkan peluang Ku Li untuk memenangi Jawatan Presiden UMNO yang ditandinginya pada tahun ini. Tambahan pula, ia didokong oleh tiga kelompok besar UMNO iaitu Kelompok Timur, Kelompok Selatan dan Kelompok Utara.

'Jatuh Bangun Semula' itulah yang penulis boleh ungkapkan kepada Ku Li pada kali ini walaupun Pak Lah cuba melindungi jawatan itu dengan 'tata etika UMNO 2008' walaupun dia sendiri yang mengikarinya. Namun, bak kata orang Ku Li tetap meneruskan usahanya 'Patah sayap, paruh dia tongkatkan'. Lagipun kata-kata keramat yang sentiasa dipegang oleh pejuang-pejuang Melayu iaitu "Pantang Melayu Berundur Sebelum Beradu" benar-benar mengibarkan semangatnya yang bekobar-kobar itu.

Penulis berharap agar perjuangan Ku Li tersebut mendapat perhatian ahli UMNO, semangat "Berani Berubah' hendaklah ditunjukkan oleh ahli-ahli UMNO. Laungan-laungan 'Perubahan' hendaklah berada di setiap hati sanubari seorang manusia yang bergelar ahli UMNO akar umbi ataupun Marhaen.

Akhir kalam, "Allah tuhan seru sekian alam tidak mengubah nasib sesuatu bangsa, melainkan bangsa itu yang mengubahnya". Biarkan diri anda berani untuk berubah demi masa depan UMNO yang gemilang bukanya temberang.

Sunday, September 7, 2008

Sukarnya Istiqamah Mempertahankan Kebenaran







Dipetik dari:
http://drmaza.com

Perkara yang amat sukar dalam hidup ini adalah istiqamah atas kebenaran. Istiqamah bermaksud berdiri teguh sepanjang masa berada atas kebenaran dan petunjuk, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan. Kata Saidina ‘Umar bin al-Khattab:

“Istiqamah itu kamu berdiri terus mematuhi suruhan dan larangan Allah tanpa berubah-ubah seperti musang” (Ibn Qayyim, Tahzib Madarij al-Salikin, 2/528, Beirut: Muassasah Fuad).

Inilah perkara yang ringkas disebut, berat untuk dilaksanakan dalam hidup. Jadi, istiqamah mempertahankan kebenaran bererti sentiasa berdiri teguh menegakkan kebenaran dalam apa keadaan sekalipun.

Mempertahankan kebenaran secara istiqamah bukanlah tugas yang ringan. Sekalipun ramai yang pandai berceramah atau berslogan sakan tentang kewajipan dan amanah berdiri teguh atas kebenaran, tetapi belum tentu yang berceramah itu sanggup menghadapi badai cabaran pada setiap musim. Jika ada yang sanggup mempertahankan kebenaran dalam beberapa keadaan, malangnya apabila tiba waktu tertentu dia gugur dan layu.

Ada yang lantang mempertahankan kebenaran bukan kerana kebenaran itu dituntut, tetapi kerana merasakan ‘pasaran’ tajuk tersebut laris untuk dilelong, maka dia pun sakan berkempen. Sehingga sekali pandang seakan dia pejuang kebenaran.

Malangnya, apabila tiba pada masa kebenaran itu tidak mendapat sambutan, dia pun menyembunyikan diri dan lari. Bahkan lebih buruk lagi, dia pun mungkin akan bersekongkol dalam menyindir atau menentang kebenaran.

Insan yang beristiqamah tidak sedemikian rupa. Dia akan mempertahankan kebenaran di kala orang ramai suka dan tidak suka. Di kala kebenaran diterima ramai, atau ditolak orang. Tanpa mengira, samada mempertahankan kebenaran itu mengundang untung, atau rugi. Samada dia disukai kerananya, atau dibenci.

Kebenaran adalah kebenaran. Dia tidak akan menukarkan kebenaran dengan kebatilan hanya disebabkan kepentingan habuan yang diharapkan, atau pangkat yang diidamkan.

Ramai insan yang telah mengorbankan kebenaran kerana sayangkan hartanya. Ada yang menolak kebenaran hanya kerana pangkat yang dipegangnya. Bukan kerana mereka tidak tahu yang benar itu benar.

Justeru itu Allah mengingatkan Bani Israil yang merupakan kaum yang mengetahui kebenaran yang pernah turun kepada Nabi Musa a.s. Mereka sepatutnya menjadi orang yang awal beriman dengan Nabi Muhammad s.a.w. kerana mereka memahami kebenaran. Malangnya mereka menolak, atas kepentingan.

Firman Allah: (maksudnya)

“Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Aku berikan kepada kamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) denganKu, supaya Aku sempurnakan perjanjianKu Dengan kamu; dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu merasa gerun. Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang membenarkan kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang yang mula-mula kafir (engkar) dengannya; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli perkara-perkara yang murah; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa.Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah, ayat 40-42).

Maka tidak hairanlah, betapa ramai golongan agama dalam dunia ini yang kerana diberi pangkat ‘mufti’ atau ‘kadi’ atau ‘pengarah itu dan ini’ lalu mereka mendiamkan tanpa menegur kesalahan yang nyata di depan mata sedangkan mereka mampu. Bukan mereka tidak tahu, namun mereka bimbang jawatan mereka dikacau orang. Padahal, dengan jawatan yang diberikan, banyak perkara yang dapat ditegur dan dibetulkan. Namun mereka mendiamkan diri bagaikan ada butiran permata dan berlian yang tersimpan.

Sebenarnya, bukan permata atau berlian yang tesimpan di lisan, tetapi jawatan yang tersimpan dalam perasaan. Bak kata lirik: “Hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan”. Mungkin jika lirik itu digubal semula maka jadinya: “Hendak mati di atas kerusi, hendaklah berkubur dalam jawatan”. Apa tidaknya, sesetengah jawatan itu ada kereta khas, pejabat yang besar dan gaji yang besar.

Sepatutnya fungsinya pun besar. Namun, ramai yang berpangkat hanya hebat kerana pangkatnya, tidaklah pula rakyat tahu apakah fungsinya yang telah dimainkan sesuai dengan gaji yang besar yang kaut dengan selesa itu. Jika dibuang pangkatnya, lalu dinilai ucapan, pemikiran, tulisan, bahkan ilmunya, kelihatan tidak lebih, bahkan mungkin kurang daripada sebahagian orang awam yang lain.

Sukarnya untuk kita meminta mereka seperti itu mempertahankan kebenaran sehingga mengorbankan ‘kemeriahan harta’ yang sedang mereka perolehi. Bukan sahaja mereka, ramai yang lain di kalangan manusia yang hanya kerana beberapa kerat harta, atau wang, atau idaman yang dijanjikan, kebenaran diketepikan. Jika mereka tidak tentang pun, mereka diam, sehingga kebenaran itu mati.

Beristiqamah dalam mempertahankan kebenaran bererti seseorang bersedia untuk menanggung risiko sekalipun pahit dan getir. Sanggup dipukul gelombang anti-kebenaran sekalipun menyebabkannya terdampar jauh tersisih ke dataran yang sangat asing. Istiqamah mungkin menyebabkan hilangnya pangkat dan harta.

Namun, kebenaran tidak boleh dijual beli. Itulah jalan para nabi a.s. sepanjang zaman. Para pengikut nabi juga, wajib menyelusuri jalan ini. Di sini kita lihat, besarnya peranan istiqamah dan tidak hairanlah mengapa Allah menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang beristiqamah.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata (menegaskan keyakinannya): “Tuhan Kami ialah Allah”, kemudian mereka istiqamah (tetap teguh di atas jalan yang betul), akan turun malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh - pada hari akhirat - apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh - pada hari itu - apa yang kamu cita-citakan mendapatnya.(Pemberian-pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani! Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Surah Fussilat, ayat 30-33).

Kebenaran itu tidak pernah mengenali pangkat, puak, parti, gelaran dan warna kulit. Kebenaran tidak mempunyai identiti daerah, atau negeri atau bangsa atau keluarga. Kebenaran itu tetap kebenaran berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya.

Istiqamah mempertahankan kebenaran bererti terus menegakkan kebenaran tanpa mengira pangkat, atau gelaran atau kedudukan atau puak. Ini tidak dapat dilakukan oleh mereka yang bersifat hizbiyyah (kepuakan). Samada ekstrimis parti ataupun kumpulan atau mazhab, atau organisasi tertentu akan gagal beristiqamah apabila tiba giliran kesalahan itu berada di puak mereka.

Ramai tokoh-tokoh yang bersifat hizbiyyah ini akan lantang menghentam dan mengkritik kemungkaran yang lakukan oleh musuh-musuh mereka. Malang sekali, apabila perkara yang sama dilakukan oleh ‘orang mereka’ atau ‘pemimpin mereka’ atau ‘parti mereka’ mereka akan mendiamkan diri.

Kita boleh lihat gelagat parti-parti politik dalam negara kita ini pun. Ada perkara yang dihukum haram atau sesat pada masa lepas, didiamkan sahaja pada hari ini apabila mereka terjerumus sama. Ada pula perkara yang dianggap salah dan tidak bermoral lalu ditentang habis-habisan, tiba-tiba hari ini mereka atau parti mereka pula melakukannya atau mengiktirafnya.

Maka kita tidak hairan jika golongan yang seperti ini bermakian antara satu sama lain pada hari ini. Mungkin besok lusa, atau setahun dua lagi mereka berpelukan dengan mesra sekali. Padahal kedua-dua pihak belum pun mengubah prinsip atau masih atas ‘mazhab lama’, tetapi segala dosa dan nista dapat dilupakan kerana ‘kita sudah geng’ dalam politik.

Jika ada yang mengumpulkan keratan akhbar beberapa tahun dahulu, lalu dibandingkan dengan pendirian politik pada hari ini, akan melihat betapa berbeza perkataan dan penilitian. Bukan sahaja dalam soal remeh temeh, bahkan soal-soal prinsip mereka pun, sudah ramai yang berubah. Jika perubahan itu ke arah positif, kita alu-alukan. Tetapi jika ia bagaikan musang, bak kata Saidina ‘Umar, itu amat mendukacitakan.

Namun, janganlah pula kita hairan, jika setahun dua lagi orang-orang politik yang berkasih sayang pada hari ini, tiba-tiba akan akan berperang kembali antara satu sama lain. Segala kesalahan semasa ‘persahabahatan’ dahulu akan diungkit kembali, dan segala yang didiamkan akan dibising semula.

Hal ini berbeza dengan mereka yang istiqamah. Dalam menegakkan kebenaran tidak pernah mengira samada kawan atau lawan. Parti sendiri atau parti musuh. Seagama, atau berlainan agama. Ini prinsip yang luhur dan telus. Atas prinsip ini jugalah orang-orang bukan Islam dapat hidup dengan aman di bawah pentadbiran Islam. Perbezaan agama tidak pernah menghalang untuk para pemerintah Umat Islam yang adil seperti al-Khulafa’ al-Rasyidin menegakkan kebenaran. Sekalipun dalam membela mereka terpaksa menghukum orang Islam yang bersalah.

Malang dalam dunia aliran buta fakta, celik lambang puak dan kumpulan, berpendirian bagi mereka diukur dengan kesetiaan kepada parti atau kumpulan, atau mazhab sekalipun ternyata dalam perkara yang silap atau salah. Terus setia tanpa bantahan sekalipun atas kesalahan dianggap sebagai istiqamah atau teguh pendirian. Sementara sesiapa yang menyokong atau mengkritik pandangan-pandangan pemimpin atau tokoh berdasarkan fakta dan alasan yang dikemukakan dianggap tidak berpendirian.

Paksi kebenaran bagi mereka adalah tokoh, kumpulan, puak, parti bukan fakta dan alasan. Inilah asabiyyah yang sebenar. Nabi s.a.w pernah bersabda:

“..Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim, al-Nasai dan Ibn Majah).

Kata al-Sindi (meninggal 1138H) dalam mensyarahkan hadis-hadis Sunan Ibn Majah:

“Bendera kebutaan adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil”. ( Al-Sindi, Syarh Ibn Majah, 4/326 Beirut Dar al-Ma’rifah).

Bimbang takut dikatakan tidak berpendirian, maka ramai insan dalam negara ini yang mengambil sikap sangat berpihak. Mereka kehairanan jika ada sesiapa yang bercakap atas kebenaran tanpa melihat kepada warna kumpulan atau parti, sebaliknya atas kebenaran dan fakta. Mereka tertanya: “kenapa awak sekejap menyokong kami, sekejap tidak? Ini tidak berpendirian namanya”.

Mereka lupa, paksi pendirian itu sepatutnya diukur dengan alasan yang dipegang oleh seseorang. Bukan kumpulan yang disokong. Jika seseorang asyik menyokong kumpulannya sahaja tanpa bertanya samada benar ataupun salah, maka itu namanya ‘pak turut’ atau ‘taklid buta’. Golongan inilah yang sepatutnya dihukum tidak berpendirian.

Malanglah, jika ukuran telah terbalik, maka bak sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat- adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat..” (Hadith ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya’la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al-Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih.dan ini disetujui oleh Al-Zahabi).

Demikian, insan perlu istiqamah dalam pendiriannya, merentasi sempadan parti atau sebarang organisasi. Hidup untuk kebenaran, atas kebenaran. Ia satu prinsip yang lebih utama yang mampu mneyelamatkan manusia dari jatuh ke lembah penyelewengan hidup. Prinsip yang goyah dipukul badai, dan tidak lapuh dek panas mentari.

Dalam hadis Muslim, Sufyan bin Abdillah r.a. pernah bertanya Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, beritahuku dalam Islam ini satu perkataan yang aku tidak perlu bertanya sesiapa selain engkau”. Jawab Nabi s.a.w: “Katakan: aku beriman dengan Allah, kemudian kamu beristiqamahlah”.

Saturday, September 6, 2008

Kesenangan Kita Vs Kesusahan Orang Lain







Kesenangan kita Vs Kesusahan orang lain menjadi tajuk artikel penulis pada kali ini, penulis memilih tajuk ini memandangkan ianya sesuai dengan suasana umat Islam yang sedang berpuasa kerana puasa bukanlah sekadar menahan makan dan minum dari lapar dan dahaga sahaja. Sesungguhnya puasa itu, terdapat keberkatanya.

Menginsafi diri di atas kesusahan orang lain juga boleh memberi sedikit keinsafan kepada kita agar ia akan memberi semangat kepada kita untuk meneruskan ibadat puasa di bulan Ramadhan yang mulia lagi berkat ini.

Penulis ingin menceritakan bagaimankah keperitan hidup seorang remaja yang berumur 16 tahun yang terpaksa menyara dirinya sendiri dan tidak bersekolah lagi kerana kesempitan hidup yang di alami oleh keluarganya.

'Kesempitan Hidup' keluarganya membakar semangat untuk berdikari pada seorang insan bernama Saiful, beliau menyara hidupnya dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah warung di ibu negeri Kelantan iaitu Kota Bharu, warung tempatnya bekerja terletak di belakang Flat Buluh Kubu yang turut dikenali oleh warga tempatan sebagai 'Padang Bas'

Warung tempatnya bekerja bernama 'Kedai Makan Kak Lah', di Kota Bharu 'Padang Bas' yang turut dikenali dengan nama 'Medan Selera Buluh Kubu' tidak kurang popularnya sama seperti Pasar Wakaf Che Yeh.

Saiful bekerja di warung itu dengan penuh ketekunan dan kerajinan. Beliau memulakan waktu kerjanya sekitar lima petang bagi menyiapkan warung tersebut. Di saat orang lain yang nyenyak tidur pada pukul 1 pagi, beliau masih bekerja memandangkan waktu bekerjanya hanya akan tamat pada pukul 5 pagi tetapi kadang-kadang ia akan terlanjur sehingga pukul 6.30 pagi.

Namun, di sebalik kesempitan hidup beliau mampu tersenyum ketika melayani karenah pelanggan yang pelbagai yang datang untuk menjamu selera di warung tersebut.

Pada bulan puasa ini, penulis pernah berbuka puasa di warung tersebut dan melihat sendiri ketekunan Saiful bekerja, di saat penulis yang berbuka puasa nasi berlaukkan daging goreng, dan beberapa keping kuih, Saiful hanya berbuka puasa dengan air minuman sahaja.

Ia memang benar-benar menyentuh hati penulis, walaupun Saiful berbuka puasa dengan sekadar meneguk beberapa teguk air, namun beliau tetap ceria melayan karenah pelanggan. Pernah satu kali tu penulis melihat insiden di mana saiful dimarahi oleh pelanggan kerana makanan yang dipesan lewat tiba kerana kelambatan tukang masak menyiapkanya mengikut masa. Peristiwa itu benar-benar menyayat hati penulis, walaupun Saiful tidak tetap ceria tetapi sebagai orang yang pernah membantu emak penulis di kedai makanya dahulu penulis percaya jauh dilubuk hati saiful tersimpan satu perasaan yang terguris.

Memang betul manusia sekarang sudah makin aneh, mereka boleh bersabar beberapa jam di siang hari, tetapi tidak pula bersabar hanya beberapa minit ketika di malam hari. Sedangkan puasa jugalah yang mendidik kita supaya bersabar, apatah lagi kita tidak patut mengguriskan perasaan orang lain kerana keegoan kita.

Cuba kita bayangkan, jika perkara seumpamanya terjadi pada kita sudah tentu perasaan kita akan terguris apabila diperlakukan sebegitu rupa. Ya Penulis tahu, pelanggan sentiasa betul tetapi sebagai orang Islam kita hendaklah bersabar kerana sabar itu separuh daripada iman.

Apa yang penulis harapkan, insiden seumpama itu tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang kepada insan bernama Saiful, yang terpaksa menggadaikan masa bersekolahnya untuk menyara hidupnya yang boleh diibaratkan sebagai 'kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang'

Akhir kalam, semoga ketekunan, ketabahan dan kerajinan Saiful menjadi iktibar untuk kita semua, semoga Ibadah Puasa anda semua diterima oleh Allah s.w.t, dan ingatlah sekiranya kita merasakan nasib kita tidak berapa baik ada lagi orang yang nasibnya tidak baik daripada kita. Syukurilah apa yang kita ada kerana dunia hanyalah pinjaman.

Allah Tidak Jauh, Doa Sentiasa Mustajab

Name of Allah written in the style of Arabic c...Image via Wikipedia

**Artikel lepas tulisan Dr Mohd Asri yang dicadangkan untuk bacaan bersempena dengan Ramadhan ini**

ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.


Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya! Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah. Firman Allah: (maksudnya)

Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)

Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah, atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan berada di tangan mereka.

Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan. Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang disebut dalam al-Quran itu.

Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain. Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang dapat memastikan ketulenannya.

Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja. Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya)

Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu) melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”. Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) (al-Zumar:3).

Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa, Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya. Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.

Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah (maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri, namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi, sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima, mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui. Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain. Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain. Segalanya mungkin.

Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian besarnya tidak pernah diduga.

Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang tidak diduga.

Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita. Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.

Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan. Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi ‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.

Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan: Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid selepasnya.

Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda Nabi:

Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan doa ketika sujud. (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam dalam solat:

Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. (Riwayat al-Nasai, sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha Agung?

Benarlah sabda Rasulullah:

Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa. (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi kehidupan dunia dan akhirat kita.


Reblog this post [with Zemanta]