Hulurkan Sumbangan

Saturday, September 6, 2008

Kesenangan Kita Vs Kesusahan Orang Lain







Kesenangan kita Vs Kesusahan orang lain menjadi tajuk artikel penulis pada kali ini, penulis memilih tajuk ini memandangkan ianya sesuai dengan suasana umat Islam yang sedang berpuasa kerana puasa bukanlah sekadar menahan makan dan minum dari lapar dan dahaga sahaja. Sesungguhnya puasa itu, terdapat keberkatanya.

Menginsafi diri di atas kesusahan orang lain juga boleh memberi sedikit keinsafan kepada kita agar ia akan memberi semangat kepada kita untuk meneruskan ibadat puasa di bulan Ramadhan yang mulia lagi berkat ini.

Penulis ingin menceritakan bagaimankah keperitan hidup seorang remaja yang berumur 16 tahun yang terpaksa menyara dirinya sendiri dan tidak bersekolah lagi kerana kesempitan hidup yang di alami oleh keluarganya.

'Kesempitan Hidup' keluarganya membakar semangat untuk berdikari pada seorang insan bernama Saiful, beliau menyara hidupnya dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah warung di ibu negeri Kelantan iaitu Kota Bharu, warung tempatnya bekerja terletak di belakang Flat Buluh Kubu yang turut dikenali oleh warga tempatan sebagai 'Padang Bas'

Warung tempatnya bekerja bernama 'Kedai Makan Kak Lah', di Kota Bharu 'Padang Bas' yang turut dikenali dengan nama 'Medan Selera Buluh Kubu' tidak kurang popularnya sama seperti Pasar Wakaf Che Yeh.

Saiful bekerja di warung itu dengan penuh ketekunan dan kerajinan. Beliau memulakan waktu kerjanya sekitar lima petang bagi menyiapkan warung tersebut. Di saat orang lain yang nyenyak tidur pada pukul 1 pagi, beliau masih bekerja memandangkan waktu bekerjanya hanya akan tamat pada pukul 5 pagi tetapi kadang-kadang ia akan terlanjur sehingga pukul 6.30 pagi.

Namun, di sebalik kesempitan hidup beliau mampu tersenyum ketika melayani karenah pelanggan yang pelbagai yang datang untuk menjamu selera di warung tersebut.

Pada bulan puasa ini, penulis pernah berbuka puasa di warung tersebut dan melihat sendiri ketekunan Saiful bekerja, di saat penulis yang berbuka puasa nasi berlaukkan daging goreng, dan beberapa keping kuih, Saiful hanya berbuka puasa dengan air minuman sahaja.

Ia memang benar-benar menyentuh hati penulis, walaupun Saiful berbuka puasa dengan sekadar meneguk beberapa teguk air, namun beliau tetap ceria melayan karenah pelanggan. Pernah satu kali tu penulis melihat insiden di mana saiful dimarahi oleh pelanggan kerana makanan yang dipesan lewat tiba kerana kelambatan tukang masak menyiapkanya mengikut masa. Peristiwa itu benar-benar menyayat hati penulis, walaupun Saiful tidak tetap ceria tetapi sebagai orang yang pernah membantu emak penulis di kedai makanya dahulu penulis percaya jauh dilubuk hati saiful tersimpan satu perasaan yang terguris.

Memang betul manusia sekarang sudah makin aneh, mereka boleh bersabar beberapa jam di siang hari, tetapi tidak pula bersabar hanya beberapa minit ketika di malam hari. Sedangkan puasa jugalah yang mendidik kita supaya bersabar, apatah lagi kita tidak patut mengguriskan perasaan orang lain kerana keegoan kita.

Cuba kita bayangkan, jika perkara seumpamanya terjadi pada kita sudah tentu perasaan kita akan terguris apabila diperlakukan sebegitu rupa. Ya Penulis tahu, pelanggan sentiasa betul tetapi sebagai orang Islam kita hendaklah bersabar kerana sabar itu separuh daripada iman.

Apa yang penulis harapkan, insiden seumpama itu tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang kepada insan bernama Saiful, yang terpaksa menggadaikan masa bersekolahnya untuk menyara hidupnya yang boleh diibaratkan sebagai 'kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang'

Akhir kalam, semoga ketekunan, ketabahan dan kerajinan Saiful menjadi iktibar untuk kita semua, semoga Ibadah Puasa anda semua diterima oleh Allah s.w.t, dan ingatlah sekiranya kita merasakan nasib kita tidak berapa baik ada lagi orang yang nasibnya tidak baik daripada kita. Syukurilah apa yang kita ada kerana dunia hanyalah pinjaman.

No comments: